Aktiviti berbasikal: Waspada laluan jalan curam di laluan Simpang Pulai - Cameron Highlands
Aida Aziz
Mei 23, 2022 14:43 MYT
Mei 23, 2022 14:43 MYT
IPOH: Individu atau kumpulan yang aktif dalam sukan berbasikal dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan jalan raya yang berbahaya serta berisiko untuk aktiviti berkenaan.
Mengambil contoh situasi yang berlaku di laluan Simpang Pulai - Cameron Highlands sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, umum menyedari bahawa jalan berkenaan sememangnya sesak dengan kenderaan selain curam.
Menerusi pengamatannya di laluan berkenaan sebelum ini, beliau mendapati ramai penunggang basikal yang mengikuti aktiviti tersebut walaupun laluan itu curam khususnya dari Cameron Highland ke Simpang Pulai.
"Saya tengok ramai penunggang basikal yang menunggang di kawasan berkenaan, laluan dari Simpang Pulai ke Cameron Highlands.
"Apabila kita mengayuh basikal, yang penting keadaan basikal itu, dari sudut mekanikal iaitu breknya okey atau tidak okey. Kalau menurun bukit itu memang laju, jadi kita perlu lebih berhati-hati.
"Macam semalam (kemalangan maut) membabitkan pembantu khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri, (Pasir Pinji) YB Howard. Dia (mangsa) turun bukit mungkin dalam keadaan laju dan terbabas, akibat daripada kemalangan tersebut dia telah mendapat kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Derma Darah Sempena Hari Polis ke-215 tahun 2022, di Dewan Serbaguna Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini, pada Isnin.
Tegasnya lagi, walaupun laluan itu dibenarkan untuk aktiviti berbasikal, namun, orang ramai perlu mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.
"Laluan itu adalah jalan persekutuan dan dibenarkan untuk mengayuh, yang tidak dibenarkan mengayuh adalah di lebuh raya sahaja, asalkan patuhi dari segi peraturan lalu lintas.
"Kena ingat bukan kita seorang sahaja yang menggunakan jalan raya, ada pengguna jalan raya lain menggunakan jalan sama terutama di laluan yang sibuk, Simpang Pulai-Cameron Highlands," katanya lagi.
Semalam media melaporkan pembantu khas kepada seorang wakil rakyat maut selepas basikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas di jalan raya berdekatan Jalan Simpang Pulai.
Mior Faridalathrash berkata, mangsa Foo Hua Bin, 34, dipercayai dalam perjalanan menuruni cerun dari arah Cameron Highlands menghala Simpang Pulai.
Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu Laporan Mati Mengejut (SDR) dibuka untuk siasatan lanjut.