Aktiviti basikal lipat semakin 'digilai', 2,500 individu berkumpul di HMBLK 2.0
Astro Awani
Februari 3, 2024 06:00 MYT
Februari 3, 2024 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Bersaiz kecil, senang disimpan dan praktikal ini menjadikan aktiviti basikal lipat semakin digemari dan menjadi trend dalam kalangan anak muda.
Baru-baru ini, lebih 2,500 pemilik basikal lipat dari seluruh negara berkumpul memeriahkan Himpunan Mega Basikal Lipat Kebangsaan (HMBLK) 2023 di di Sunway Big Box, Iskandar Puteri, Johor.
Pengurus Acara HMBLK 2.0., Nasir Deraman berkata, selain mengalakkan aktiviti sihat dalam kalangan pemilik basikal lipat termasuk dari negara jiran itu turut diperkenalkan dengan kawasan-kawasan pelancongan di Malaysia.
"Himpunan Mega Basikal Lipat Kebangsaan adalah sebuah acara yang menghimpunkan semua pemilik basikal lipat dari seluruh negara selain dari negara jiran," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Himpunan itu diadakan dengan kerjasama dan sokongan Tourism Malaysia, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sunway Big Box.
Dalam pada itu, Nasir berkata, penganjuran program tersebut diadakan dengan kerjasama Kelab basikal The Lipatist (Johor) sebagai penganjur bersama HMBLK 2.0.
"Kerjasama seperti ini amat penting untuk memastikan segala perancangan dan pengurusan lebih teratur. Gabungan beberapa kelab lain juga turut terlibat sebagai pasukan bersama penganjuran kali ini antaranya Underground Foldies Kuala Lumpur (UFKL), Gang Satunam, LOCO Cyclist, Klang Foldies dan Kami Budak Lipat (KBL).
"Dalam acara ini juga terdapat hadiah cabutan bertuah untuk peserta berdaftar bernilai hampir RM50,000. Pada pandangan peribadi saya ini adalah acara paling besar bagi pemilik basikal lipat setakat ini.
Dalam pada itu, Nasir berkata, pihak penganjur merancang menganjurkan acara HMBLK 3.0 di negeri lain pula pada 2024.
“Kemungkinan acara ini akan diadakan di Pahang pada September atau Oktober ini," katanya.