Aktivis teater Rosminah Tahir meninggal dunia
Saharudin Musthafa
Mei 19, 2024 19:28 MYT
Mei 19, 2024 19:28 MYT
KUALA LUMPUR : Aktivis teater ternama tanah air, Rosminah Tahir menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Keramat, di sini, sekitar petang tadi.
Allahyarham Rosminah yang berusia sekitar awal 60-an baru sahaja meraikan ulang tahun kelahiran pada 13 Mei lalu.
Bagaimanapun, punca kematian bekas Ketua Jabatan Teater Akademi Seni dan Warisan Negara (ASWARA) itu belum dipastikan lagi.
Antara rakan penggiat seni yang berkongsi khabar pemergian Allahyarham ialah aktor veteran seperti Fauziah Nawi dan Zulkifli Ismail yang memuat naik hantaran di akaun Facebook masing-masing.
Turut berduka cita atas pemergian Allahyarham adalah komuniti, alumni teater dan rakan media, yang antara lain menyifatkan Allahyarham Rosminah sebagai sosok ibu penyayang, pembimbing dan guru yang banyak memberi nasihat serta tunjuk ajar kepada mereka.
Banyak teater arahan Allahyarham Rosminah yang mendapat sambutan luar biasa antaranya teater Anugerah pada 1996, Lantai T Pinkie (1997), dan Malam Haram.
Astro AWANI difahamkan jenazah Allahyarham Rosminah kini dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.
Jenazah Rosminah juga akan dibawa ke pulang ke kampung halaman Allahyarham di Muar, Johor untuk dikebumikan.
Terdahulu, ramai selebriti serta penggiat teater berada di kediaman Rosminah sekitar pukul 5.30 petang sebaik mendapat berita pemergian Allahyarham.
Antara mereka ialah Datuk M Nasir dan isterinya, Datin Marlia Musa; pelakon dan pengacara Sherry Al Hadad serta pegawai-pegawai kanan ASWARA.
BERITA LANJUT MENYUSUL