Aktivis politik mengaku hantar surat dakwa Adun keluar parti

Astro Awani
Februari 7, 2014 07:31 MYT
Acryl Sani Abdullah Sani - Gambar Fail
Seorang aktivis politik mengaku telah menghantar surat yang mendakwa seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari pembangkang telah keluar parti.
Namun bekas pekerja swasta yang berumur lingkungan 60-an itu berkata dia tidak mengetahui isi kandungan surat itu.
Surat itu dikatakan dihantar ke Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata lelaki tersebut tampil memberi maklumat sejurus mendapat berita mengenai surat palsu berkenaan.
"Lelaki itu mendakwa dia diupah oleh seorang lelaki tidak dikenalinya untuk menghantar surat itu ke Pejabat DUN Perak selepas hadir di salah sebuah penjumpaan politik di Kajang, Selangor baru-baru ini.
"Dia juga mengaku menghantar surat berkenaan tetapi tidak mengetahui kandungan sebenar surat itu dan hanya melaksanakan apa yang diarahkan," katanya selepas majlis perhimpunan bulanan bagi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di Pasir Puteh hari ini.
Acryl berkata pihak polis turut mengambil keterangan daripada Adun Hutan Melintang dari Parti Keadilan Rakyat, S.Kesavan semalam bagi membantu siasatan.
"Polis juga telah merakam percakapan dua orang saksi iaitu Pegawai Perkhidmatan Pelanggan Pejabat SUK (Setia Usaha Kerajaan Negeri) dan Pembantu Tadbir di Pejabat Menteri Besar serta telah menyambung percakapan seorang pengadu," katanya.
Polis juga telah merampas surat palsu asal yang diterima oleh Pejabat Menteri Besar, katanya.
Acryl berkata pihak polis akan terus menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti dan mengesan lelaki yang didakwa mengupah bagi penghantaran surat itu.
Sementara itu Kesavan menafikan beliau telah keluar parti seperti yang didakwa melalui surat itu yang dialamatkan kepada Speaker DUN Perak Datuk Seri S.K Devamany pada Selasa lepas.
Menurut surat itu yang kononnya ditandatangani Kesavan, tindakan itu dilakukan selepas hilang kepercayaan dan tidak berpuas hati terhadap kepimpinan parti berkenaan.
#Adun.aktivis #Perak #politik