Aktivis Pemuda UMNO gesa RoS bebas daripada campur tangan mana-mana pihak
Fareez Azman
Januari 22, 2023 19:32 MYT
Januari 22, 2023 19:32 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) digesa agar menjalankan siasatan secara adil terhadap laporan dua ahli UMNO yang mendakwa berlakunya pelanggaran Perlembagaan parti itu berhubung usul tiada pertandingan dua jawatan tertinggi dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
Gesaan itu dibuat Aktivis Pemuda UMNO, Syed Mohd Syed Nasir dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, RoS perlu bebas daripada campur tangan mana-mana pihak demi keadilan dan demokrasi di negara ini.
"Rentetan dari Notis Bantahan yang dihantar oleh Saudara Fiqri kepada pihak ROS tempoh hari perlu diambil tindakan dengan seadilnya.
"Perkara ini akan menunjukkan bahawa ROS tidak berpihak kepada individu-individu yang mempunyai agenda tersembunyi untuk kekal berkuasa," jelasnya.
Tambah Syed Mohd, tindakan dua ahli UMNO dari Negeri Sembilan itu membuktikan bagaimana orang muda mahu menegakkan demokrasi dalam parti itu.
Usaha itu jelasnya, tidak perlu dihina mahupun disekat, sebaliknya perlu didukung oleh semua pihak demi demokrasi yang subur dalam parti keramat itu.
"Tindakan perundangan ini juga membuktikan keabsahan pandangan UMNO Johor, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkenaan dengan perlembagaan parti yang dilanggar secara terang-terangan.
"Adakah dengan tindakan RoS nanti akan terbongkar kebenaran perosak-perosak demokrasi dalam negara yang takut hilang kuasa?” ujarnya lagi.
Baru-baru ini Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom membuat aduan kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Dalam aduan itu, mereka mendakwa usul yang dibentangkan dalam PAU2022 melanggar Artikel 10 Perlembagaan parti itu.
Pada PAU2022, majoriti perwakilan yang hadir pada perhimpunan itu menyatakan sokongan terhadap usul tambahan dicadangkan wakil UMNO Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang.