Aktivis hina Sultan di Facebook ditahan lagi selepas dibebaskan
Haider Yutim
September 27, 2014 15:41 MYT
September 27, 2014 15:41 MYT
Aktivis, Ali Abd Jalil yang baru sahaja dilepaskan selepas didakwa di bawah Akta Hasutan, sekali lagi ditahan polis mengikut akta sama hari ini.
Menurut peguamnya, Jimmy Puah, Polis Johor mahu menahan reman Ali selama empat hari bagi tujuan siasatan, namun mahkamah menetapkan tempoh selama tiga hari sahaja.
"Beliau ditahan kira-kira jam 9.00 pagi tadi semasa dia hadir ke mahkamah bersama saya. Polis telah meminta untuk menahannya selama empat hari... namun mahkamah berkeputusan untuk meremannya sehingga Isnin sahaja," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelas beliau, polis juga tidak memaklumkan sebab penahanan itu, tetapi katanya ia berdasarkan laporan yang dibuat pada Oktober 2013.
Penahanan Ali itu juga disahkan oleh peguam Lawyers for Liberty, Michelle Yesudas kepada Astro AWANI sebentar tadi.
Ini merupakan kali keempat Ali ditahan di bawah Akta Hasutan dan kali ketiga dia ditahan sejurus dibebaskan.
Sebelum ini, dia dituduh menghasut dan menghina Kesultanan Johor melalui laman Facebook pada Januari tahun ini melalui akaun Rejimen Anarki.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Dia juga pernah dihadapkan dengan dua lagi pertuduhan mengikut Akta Hasutan kerana menghina Sultan Selangor dan institusi beraja di Malaysia.
Ali turut mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu dan minta dibicarakan.