Aktivis Fahmi Reza ditahan polis

Dania Zainuddin
Jun 5, 2016 08:30 MYT
Dalam catatan Facebooknya, Fahmi berkata beliau ditahan untuk disoal siasat kerana penjualan t-shirt yang berunsurkan menghasut. - Foto Facebook Fahmi Reza
Aktivis Fahmi Reza ditahan polis ketika menyertai acara KL Alternative Bookfest (KLAB) di Publika Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Fahmi ditahan bersama Penganjur KLAB, Pang Khee Teik, Aktivis Lew Pik-Svonn dan artis komik, Arif Rafhan sekitar jam 7 malam sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul, di sini.
Dalam satu catatan Facebook, Fahmi berkata beliau ditahan untuk disoal siasat kerana penjualan t-shirt yang didakwa berunsur menghasut.
"Lima atau enam pegawai polis datang ke gerai pameran. Mereka rampas kad pengenalan, dua helai t-shirt Penghasut dari beg dan juga sepanduk lukisan muka badut. Menurut pihak polis siasatan akan dilakukan di bawah Akta Hasutan," katanya dalam catatan Facebooknya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy ketika dihubungi mengesahkan penahanan Fahmi.
Sebelum ini, Fahmi disoalsiasat kerana mengedarkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyerupai badut.
Beliau akan didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 pada minggu hadapan.
#Fahmi Reza #IPD Sentul #KL Alternative Bookfest #KLAB #menghasut
;