Aktivis Fahmi Reza didakwa muat naik gambar aib Perdana Menteri
Bernama
Jun 10, 2016 13:18 MYT
Jun 10, 2016 13:18 MYT
Pereka grafik sambilan dan aktivis, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memuat naik gambar aib pemimpin negara bertujuan menyakitkan hati orang lain, dalam akaun Facebooknya, Februari lepas.
Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 39, didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook 'Fahmi Reza' di suatu pautan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada 8 Feb lepas.
Pautan itu kemudian didakwa telah dibaca di sebuah alamat di Seraya Sdn Bhd, Batu 3, Jalan Jelapang, di sini, pada 2.40 petang, 8 Feb lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketua Jabatan Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Mohd Sophian Zakaria menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Peguam S.Malissa yang mewakili Mohd Fahmi Reza pula memohon supaya wang jaminan dikurangkan kepada RM2,000 atas alasan ia terlalu berat serta pelu mengambil kira pendapatan anak guamnya sebanyak RM2,000 sebulan.
Malissa berkata anak guamnya yang kini mengajar di Thailand juga telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan SKMM apabila diminta untuk pulang ke Malaysia dan hadir di mahkamah.
Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Pada Isnin lepas, Mohd Fahmi Reza juga didakwa memuat naik gambar palsu perdana menteri bertujuan menyakitkan hati orang lain, dalam akaun Instagramnya, Januari lepas.
#ereka grafik sambilan
#Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memuat naik gambar dalam akaun Facebooknya
#Mohd Reza Mohd Zarin