Aktivis Fahmi Reza dibebaskan selepas ditahan pada Sabtu
Astro Awani
Jun 5, 2016 10:49 MYT
Jun 5, 2016 10:49 MYT
Aktivis Fahmi Reza yang ditahan polis ketika menyertai acara KL Alternative Bookfest (KLAB) di Publika Kuala Lumpur, pada Sabtu telah dibebaskan.
Perkara ini disahkan kepada Astro AWANI oleh Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Munusamy Rengasamy.
Katanya, Fahmi telah dibebaskan sekitar jam 3 pagi (Ahad) dengan jaminan polis selepas disiasat di bawah Seksyen 41c Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 11 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.
Fahmi turut mengumumkan pembebasannya di laman Facebook peribadinya.
“Aku dah bebas dari tahanan dan baru sampai rumah.
“Kalau kamu fikir tindakan kamu ini boleh takutkan aku dan patahkan semangat aku untuk terus melawan korupsi penguasa menggunakan seni sebagai senjata, kamu silap orang,” katanya.
Difahamkan, penganjur KLAB, Pang Khee Teik, aktivis Lew Pik-Svonn dan artis komik, Arif Rafhan yang turut ditahan bersama Fahmi juga telah dibebaskan.
Dalam satu catatan Facebook yang dimuat naik tidak lama selepas penahanannya, Fahmi berkata beliau ditahan untuk disoal siasat kerana penjualan t-shirt yang didakwa berunsur menghasut.