Aktivis adakan bantahan di hadapan kedutaan Myanmar, desak tindakan diambil

Agensi
April 1, 2021 17:31 MYT
Keadaan yang semakin teruk di Myanmar menyebabkan beberapa aktivis kemanusiaan dari negara lain termasuk Malaysia mendesak tindakan diambil bagi meredakan ketegangan di sana. - Gambar fail REUTERS
KUALA LUMPUR : Sekumpulan aktivis kemanusiaan berkumpul di hadapan Kedutaan Myanmar di Jalan Ampang Hilir di sini hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap situasi yang semakin memburuk di negara berkenaan.
Menurut laporan The Star, beberapa kumpulan yang terdiri daripada warga tempatan dan pelarian Myanmar itu turut menghantar memorandum kepada wakil kedutaan tersebut.
Mereka menuntut tindakan daripada pihak kedutaan dan mengecam tindakan negara itu yang menyebabkan lebih 500 orang awam maut sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari lepas.
Dalam memorandum tersebut, mereka juga mendesak Myanmar berhenti menggunakan kekerasan kepada orang awam.
Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Sevan Doraisamy berkata, memorandum itu merupakan satu mesej yang jelas kepada duta dari negara tersebut.
“Anda mempunyai tanggungjawab bersama untuk memberitahu dunia apa yang sedang terjadi di Myanmar,” katanya.
Minggu lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kebimbangan mengenai perkembangan terkini di Myanmar.
Singapura dan Indonesia juga menyokong usul untuk mengadakan pertemuan khusus ASEAN untuk mengatasi masalah tersebut.
#Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #PM #Junta #Myanmar #perang #maut #rakyat #Indonesia #Singapura #ASEAN #protes #tentera #menteri #pelarian #Malaysia
;