Aktifkan semula majlis khas, tangani isu jaminan makanan - Muhyiddin
Astro Awani
Mei 17, 2022 15:46 MYT
Mei 17, 2022 15:46 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan disaran untuk mengaktifkan semula Majlis Khas Jaminan Makanan yang pernah ditubuhkan sebelum ini bagi meningkatkan hasil pengeluaran dalam negara.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu makanan yang didepani pada ketika ini merupakan isu global yang turut memberi tempias kepada Malaysia.
"Ini adalah masalah global dan Malaysia tidak terkecuali berhadapan dengan masalah bekalan bahan makanan yang agak terjejas selepas pandemik, sektor pengeluaran makanan seperti bahan makanan asas semakin berkurangan.
"Berikutan itu, kita cadangkan kepada kerajaan untuk mengaktifkan semula majlis yang sudah ada sebelum ini, kerana ia dapat meningkatkan hasil pengeluaran dalam negara, seperti bahan makanan kita.
"Ada yang sudah dikeluarkan namun ia belum sampai ke tahap sara diri," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan di sini, pada Selasa.
Justeru, tambah Muhyiddin, Malaysia masih mengimport dan terpaksa membayar dengan harga yang tinggi, seterusnya memaksa pengguna menanggung beban ekoran harga barang makanan yang tinggi.
Beliau berkata, Malaysia berupaya untuk membangunkan sektor agromakanan , namun, sektor berkenaan masih belum diterokai secara meluas.
"Antaranya berkaitan penggunaan teknologi serta bekalan tenaga kerja, ini semua perkara penting dan walaupun ketika endemik pun kita perlu ambil perhatian segera," katanya.
Pada 8 September 2020, Muhyiddin yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang bersetuju memperakukan cadangan Kerangka Sekuriti Makanan Negara seperti disarankan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).