Aktifkan pendidikan kepenggunaan dalam menangani peningkatan harga keperluan asas

Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari
April 8, 2022 11:30 MYT
Isu peningkatan harga barangan keperluan asas secara abnormal seringkali berlaku terutamanya dalam tempoh sambutan sesuatu festival seperti bulan Ramadan dan Syawal. -Gambar fail/Bernama
ISU peningkatan harga barangan keperluan asas secara abnormal seringkali berlaku terutamanya dalam tempoh sambutan sesuatu festival seperti bulan Ramadan dan Syawal.
Isu ini adalah isu sejagat yang memberi kesan langsung kepada Keluarga Malaysia.
Terdahulu telah berlaku peningkatan harga ke atas barang keperluan asas akibat daripada gangguan bekalan bahan mentah di peringkat global dan kekurangan tenaga buruh.
Situasi ini berterusan dan bertambah meruncing pada awal sambutan Ramadan dengan pelbagai rungutan daripada pengguna.
Mengharapkan hanya kerajaan semata-mata untuk mengadakan kawalan dan pemantauan harga adalah tidak memadai.
Kerajaan mempunyai sumber kewangan dan saiz penguatkuasaan yang terhad dalam mengawal dan memantau peningkatan harga barangan.
Dalam situasi ini, mekanisme ekonomi perlu diaktifkan sepenuhnya agar pergerakan harga barangan dapat ditentukan oleh kuasa pasaran yang melibatkan permintaan dan penawaran (pengeluaran).
Bagi sesebuah ekonomi yang mana pengeluar dan penggunanya mempunyai maklumat yang sempurna tentang pasaran, penetapan harga dilakukan oleh tindak balas permintaan dan penawaran.
Contohnya, apabila berlaku peningkatan harga barangan, pengguna akan mengurangkan pembelian ke atas barangan tersebut.
Apabila berlaku kekurangan permintaan berbanding dengan jumlah barangan yang ada di pasaran, maka pengeluar akan bertindak menurunkan harga barangan tersebut.
Tindak balas ini adalah terhad kepada barangan tertentu sahaja kerana wujudnya ketidakseimbangan di antara tindak balas pengeluar dan tindak balas pengguna.
Baik, ayuh kita rungkaikan sedikit apa yang dimaksudkan dengan ketidakseimbangan ini.
Penawaran atau pengeluaran dikawal oleh pengeluar (pengilang, penternak, pengimport dan lain-lain).
Dalam konteks ekonomi Malaysia, persatuan-persatuan yang mewakili pengeluar sangat aktif bertindak bagi pihak ahli-ahlinya dalam memberi khidmat nasihat dan hala tuju kepada kerajaan terutamanya melibatkan isu-isu pasaran, kos pengeluaran dan tindak balas harga.
Kewujudan persatuan-persatuan pengeluar ini pula merentasi banyak agensi dan kementerian.
Walaubagaimanapun, dari perspektif pengguna pula, persatuan pengguna dilihat lebih bersifat pasif dan kurang responsif kepada peningkatan harga.
Dalam hal ini, persatuan pengguna setempat atau negeri atau nasional sepatutnya memainkan peranan yang lebih aktif dalam membantu pengguna memberi didikan kepenggunaan berkaitan harga barangan dan tindakan yang perlu dilakukan bagi memberi tekanan harga untuk diturunkan.
Dalam situasi semasa, sangat terhad persatuan pengguna yang tampil memberi didikan kepenggunaan bagi tindak balas ke atas gelagat pengeluar.
Perlu dinyatakan di sini bahawa peningkatan harga barangan keperluan asas memberi tekanan kepada mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah, apatah lagi mereka yang mempunyai saiz keluarga yang besar.
Keberkesanan kewujudan persatuan pengguna dapat dinilai jika isu harga ini dapat dikawal dan diturunkan pada kadar menang-menang antara pengeluar dan pengguna.
Contoh lain yang relevan adalah isu peningkatan kadar tol lebuh raya. Tiada analisis dan tindak balas aktif persatuan pengguna yang menyuarakan hak pengguna lebuhraya.
Mungkin tiada persatuan pengguna lebuh raya yang wujud yang menyebabkan hanya ahli-ahli politik yang banyak menyuarakan pandangan.
Dalam konteks peningkatan kadar upah, persatuan yang mewakili pekerja seperti MTUC dan CUEPACS memainkan peranan aktif dalam menjaga kebajikan pekerja.
Persatuan-persatuan ini juga seringkali mengadakan penglibatan bersama dengan persatuan-persatuan yang mewakili majikan dalam mencari situasi menang-menang.
Ini adalah contoh amalan yang baik. Walau bagaimanapun, peningkatan upah tidak akan membantu meningkatkan kebajikan mereka jika magnitud peningkatan harga melebihi peningkatan kadar upah.

* Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari ialah Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS, PERKESO
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#peningkatan harga barangan keperluan asas #gangguan bekalan bahan mentah #Mohd Yusof Saari #persatuan pengguna
;