'Aktifkan kembali cadangan wujudkan One Percent Club untuk basmi kemiskinan'

Madiha Abdullah
Ogos 23, 2023 07:45 MYT
Zainal Abidin berkata, One Percent Club adalah satu pendekatan sistematik dan terancang yang boleh dilaksanakan kerajaan bagi menunjukkan penyertaan usahawan dalam membasmi kemiskinan. - Gambar fail BERNAMA
PETALING JAYA: Kerajaan disaran agar meneliti kembali cadangan untuk mewujudkan One Percent Club bagi tujuan mendapatkan pendanaan sebagai inisiatif untuk menoktahkan kemiskinan.
Saranan itu dibuat Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) bersama Benevolent Malaysia serta beberapa agensi yang terbabit dalam sidang meja bulat bertajuk Menoktahkan Kemiskinan: Peranan Sektor Ketiga, semalam.
Ahli persidangan tersebut sokong sebulat suara untuk mengaktifkan cadangan yang dipersetujui Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri, namun tidak dapat direalisasikan susulan situasi politik ketika itu.
"Kita memerlukan dana besar. Jadi, setiap pemain dalam GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan), syarikat luar negara yang bertanggungjawab di Malaysia, kita minta mereka meletakkan satu peratus daripada keuntungan mereka dalam satu tabung yang dijaga kerajaan.
"Dengan itu semua NGO (badan bukan kerajaan) atau persatuan yang ingin berusaha membasmi kemiskinan, boleh beri dana. Kalau itu terjadi, YBK boleh basmi 100 orang miskin, Benevolent boleh basmi 100 orang miskin. Banyak boleh dibuat.
"Kalau tidak, kita tak tahu di mana yang ada buat program basmi kemiskinan. Mungkin hari ini basmi, esok ia muncul semula," kata Pengerusi YBK Datuk Zainal Abidin Sakom pada sidang media semalam.
Katanya, One Percent Club merupakan satu pendekatan lebih sistematik dan terancang yang boleh dilaksanakan kerajaan bagi menunjukkan penyertaan usahawan dalam membasmi kemiskinan.
Lebih 40 peserta dari pelbagai agensi kerajaan, NGO, institusi pendidikan dan aktivis masyarakat hadir pada sesi sidang meja bulat kali ini, termasuk wakil Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Amanah Ikhtiar Malaysia, Lembaga Zakat Selangor.
Sidang meja bulat ini diadakan bertujuan mendapatkan pandangan serta pelan tindakan bagi mengaktifkan peranan agensi dalam membasmi kemiskinan, di samping menggalakkan perkongsian pintar antara agensi.
Dapatan dan rumusan sidang meja bulat ini akan dibawa ke Konvensyen Menoktah Kemiskinan yang akan diadakan Oktober depan.
#basmi kemiskinan #Yayasan Basmi Kemiskinan #One Percent Club #tabung
;