Akta Wakaf perkukuh dana, aset wakaf - Mujahid

Harits Asyraf Hasnan
Jun 14, 2019 18:30 MYT
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa akui penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) masih tidak dapat berfungsi secara efektif dengan maksimum. - Foto Astro AWANI
Rang Undang-undang Wakaf yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada penghujung tahun ini akan memastikan dana mahupun aset yang diwakafkan dapat dipantau dengan telus dan bertanggungjawab.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa akui penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) masih tidak dapat berfungsi secara efektif dengan maksimum terutama melibatkan koordinasi antara undang-undang negeri dan persekutuan.
"Ia akan digubal supaya tidak berlaku salah guna dan supaya tanah wakaf itu digunakan dan (nampak) keberadaannya. Maka satu akta yang kita nak perkenalkan nanti ialah Akta Wakaf - yang akan melibatkan isu-isu peraturan supaya tidak berlaku penyelewengan atau tanah itu tidak digunakan.
"Namun demikian, kami tidak boleh jadikan akta ini di seluruh negara, cuma di peringkat wilayah. Apa yang boleh mereka (negeri) buat adalah mereka tengok model ini dan dilaksanakan di peringkat negeri," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Pengurusan Wakaf Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini hari ini.
Mengulas berkenaan inisiatif itu, Mujahid berkata pusat pengurusan wakaf di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu ditubuhkan agar ia dapat dikendalikan dengan lebih sistematik dan holisitik.
Malah, katanya penambahbaikan bagi konsep wakaf juga perlu dibuat bagi melestarikan institusi pengajian di negara ini dengan mempunyai sumber dananya sendiri yang dapat dimanfaatkan untuk pembangunan universiti terbabit.
"Wakaf ini merupakan instrumen penting dalam pengurusan hal ehwal umat Islam namun ia tidak hanya terbatas pada pemberian tanah sahaja.
"Konsep wakaf ini juga ingin dibawa ke satu peringat lain seperti wakaf pendidikan, alam sekitar, perubatan dan sebagainya," ujarnya.
Beliau berkata UPNM merupakan satu daripada lima perintis yang menjadi 'mutawalli' atau wakil untuk membolehkan mereka melaksanakan kutipan wakaf selain Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Kolej Poly-Tech Mara dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur.
Mujahid berkata selain untuk pembangunan institusi, dana yang diperoleh juga akan dapat membantu kebajikan penuntut IPT yang memerlukan seperti pembiayaan yuran pengajian.
#Dewan Rakyat #Islam #Kuala Lumpur #MARA #pendidikan #Perdana Menteri #perubatan #undang-undang #UPNM #wakaf
;