Akta Tatakelola Sektor Awam, Pelan Integriti, garis panduan jelas basmi rasuah - Pakar
Bernama
September 14, 2023 05:45 MYT
September 14, 2023 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pengenalan Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti akan memberi garis panduan yang lebih jelas kepada penjawat awam dalam usaha kerajaan membasmi rasuah selaras hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjamin tatakelola yang baik.
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara Prof Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, negara sudah bersedia menerima satu bentuk pembaharuan perundangan yang lebih efektif dalam menuju ke arah pembangunan Malaysia MADANI.
Beliau berkata, pengenalan akta ini mampu memberikan impak positif dan undang-undang berkesan terutama kepada mereka di sektor awam, namun cabaran utamanya ialah bagaimana ia akan dilaksanakan.
"Kita sebut pasal peraturan dalam penjawat awam, selalunya ia berbentuk tatacara dan tatalaku, tapi sekarang ini, tadbir urus itu dijadikan undang-undang, kalau undang-undang apakah tatakelola sebenarnya yang mesti diikuti," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, Penganalisis Politik, Prof Datuk Ismail Sualman mencadangkan agar akta ini digubal secara objektif dan menyeluruh meliputi pihak yang memberi dan menerima rasuah.
"Saya banyak lihat akta tatakelola ini di luar negara, tapi tiada perbezaan sebenarnya pun, kerana klausa dan aktanya sudah ada, tetapi kalau dia nak pakejkan, saya rasa setujulah.
"Setiap jabatan kerajaan akan ada satu jabatan integriti, dari situ kita boleh masukkan akta ini, kalau mereka melanggar peraturan, mereka akan dihadapkan ke mahkamah," katanya.
Sementara itu, Prof Madya Khairil Azmin Mokhtar berkata, idea memperluaskan implementasi sistem ini kepada entiti swasta mempamerkan pentadbiran kerajaan yang diurus dengan baik.
Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu berharap pelan kerajaan ini berjaya dilaksanakan dan tindakan merangka akta ini harus melibatkan semua pihak berkepentingan.
"Ia dapat meyakinkan pelabur sama ada dalam atau luar negara sebab ia akan meyakinkan para pelabur kepada sistem perniagaan dan kewangan Malaysia yang mempunyai ketelusan.
Jadi, lagi banyak mekanisme yang memastikan ketelusan dan tanggungjawab korporat, ia akan meyakinkan pelabur bahawa negara itu telus. Kemudian, ia dapat mengukuhkan sistem ekonomi. Bila kurang rasuah, maka jangkaan pelaburan, kosnya lebih jelas, tidak ada kos tersembunyi," katanya.
Isnin lepas, Anwar ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat memperkenalkan Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti sebagai panduan tatakelola bebas rasuah kepada semua entiti, baik dalam sektor awam mahupun swasta.
- BERNAMA