Akta Tatakelola Sektor Awam, Pelan Integriti asas pembangunan mampan - Perwakilan AMK
Bernama
November 25, 2023 21:30 MYT
November 25, 2023 21:30 MYT
PUTRAJAYA: Pengenalan Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti oleh kerajaan mampu menjadi asas kepada pembangunan negara yang lebih mampan menerusi amalan tatakelola yang baik.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan Noor Amelia Zainabila Zaiffri berkata akta itu juga dapat meningkatkan lagi integriti dalam kalangan pekerja termasuk penjawat awam bagi menyokong usaha kerajaan membasmi rasuah.
"Besar harapan saya supaya akta baharu ini dapat menutup segala kepincangan dan kelompongan yang wujud dalam akta sedia ada. Kita tidak mahu lambakan akta berkaitan rasuah tapi apa yang lebih penting adalah penguatkuasaan yang tegas dalam usaha memerangi rasuah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Kongres Nasional Tahunan AMK 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Sept lepas dilapor berkata kerajaan akan memperkenalkan Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti sebagai panduan tatakelola bebas rasuah kepada semua entiti, baik dalam sektor awam mahupun swasta.
Anwar berkata kerajaan komited untuk memulihkan imej Malaysia pada peringkat antarabangsa sekali gus mengangkat darjat menjadi sebuah negara yang bermaruah dan antirasuah.
Sementara itu, Setiausaha AMK Negeri Sembilan S. Sugumaran ketika menyentuh mengenai pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), mencadangkan supaya lebih banyak universiti berkaitan TVET diwujudkan.
Menurutnya ia bagi membangunkan modal insan yang berkualiti serta mempunyai nilai kebolehpasaran.
Selain itu, katanya tempoh praktikal yang perlu dijalani mahasiswa juga perlu ditingkatkan bagi memenuhi keperluan industri.
-- BERNAMA