Akta Rumah Judi terbuka 1953 perlu dipinda kerana ketinggalan zaman - Peguam Negara
Bernama
Februari 16, 2017 17:24 MYT
Februari 16, 2017 17:24 MYT
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berpendapat Akta Rumah Judi Terbuka 1953 perlu dipinda kerana ia sudah ketinggalan zaman kerana hukuman yang dikenakan kepada pesalah adalah tidak relevan lagi pada masa sekarang.
Beliau menyifatkan kebanyakan undang-undang di negara ini telah lapuk, antaranya Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang perlu dikaji semula mengikut keperluan semasa dengan mengutamakan keperluan negara serta menjamin kepentingan rakyat.
"Saya bersetuju banyak undang-undang di Malaysia sudah terlalu lama yang digubal pada 1950-an, dan sekarang 2017. Umur akta sudah 60 tahun dan hukuman yang dikenakan pun sudah ketinggalan zaman.
"Contohnya, hukuman maksimum di bawah Akta Kesalahan Kecil adalah RM100. Dalam situasi hari ini, ia tidak relevan dan perlu dipinda agar memberi pengajaran secukupnya kepada pesalah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Jabatan Peguam Negara di sini hari ini.
Mohamed Apandi berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meminda Akta Rumah Judi Terbuka bagi membanteras sindiket judi terutama judi dalam talian.
Bagaimanapun, Peguam Negara berkata usaha meminda undang-undang yang lama itu adalah keputusan kerajaan, dan Jabatan Peguam Negara hanya membantu dalam mengkaji dan membuat semakan draf undang-undang itu.
Mengenai Akta Judi Rumah Terbuka itu, Mohamed Apandi berkata pihaknya belum menerima draf undang-undang yang perlu dipinda daripada Kementerian Kewangan sebelum menyemak keperluan melakukan pindaan pada akta itu.
"Kita kena lihat polisi itu secara menyeluruh sebelum ia dibentangkan pada sesi Parlimen," katanya, sambil menambah antara 40 hingga 50 rang undang-undang baharu dan dipinda dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen Mac ini.
Terdahulu, Mohamed Apandi dalam ucapannya menggalakkan pegawai undang-undang untuk belajar Perancis sebagai bahasa alternatif selain Bahasa Inggeris agar dapat membantu membaca beberapa dokumen dalam bahasa asing itu.
"Bahasa Perancis ini akan membantu kita dalam membaca dokumen-dokumen berkaitan dengan kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Satu kelas akan dibuka dalam masa terdekat dan saya akan jadi pelajar pertama untuk belajar," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji enam pegawai yang menerima sijil daripadanya, yang telah mempamerkan nilai integriti yang tinggi dalam melaksanakan tugas termasuk menolak rasuah serta mengesan pemalsuan laporan yang dikemukakan oleh pihak ketiga.
-- BERNAMA