Akta PSMB benarkan HRD Corp buat pelaburan - Peguam

Hasimi Muhamad
Julai 8, 2024 12:16 MYT
Amrit Pal (gambar kecil) berkata, Akta PSMB 2001 adalah sistem perundangan yang mengawal selia dan mentadbir segala perancangan dan pelaksanaan operasi pentadbiran HRD Corp - Foto/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta PSMB 2001) membenarkan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk membuat pelaburan mengikut prosedur dan tatakelola yang telah termaktub dari segi undang-undang.

Ringkasan AI
  • Tujuan Akta PSMB 2001: Akta ini mengenakan levi pembangunan sumber manusia untuk mempromosikan latihan dan pengembangan pekerja, perantis, dan pelatih. HRD Corp bertanggungjawab untuk mengumpul dan mentadbir dana yang diperoleh daripada levi ini.
  • Kuasa Pelaburan HRD Corp: Seksyen 26 Akta PSMB 2001 membenarkan HRD Corp menubuhkan panel pelaburan yang terdiri daripada pengerusi lembaga, anggota lembaga, ketua eksekutif, wakil Kementerian Kewangan, wakil Bank Negara Malaysia (BNM), dan individu berpengalaman dalam perniagaan dan kewangan. Seksyen 27 memperkenankan HRD Corp melabur dalam pelaburan atau sekuriti yang dibenarkan, termasuk dalam kumpulan wang amanah.
  • Keuntungan Pelaburan HRD Corp: HRD Corp telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan. Pelaburan ini telah menghasilkan keuntungan yang besar dan tidak melanggar undang-undang atau moral. Pada Disember 2023, HRD Corp mencatat keuntungan bersih pelaburan sebanyak RM69 juta, yang merupakan sebahagian besar dari keseluruhan portfolio pelaburan mereka2. Amaran dan Nasihat: Ahli politik dan jawatankuasa perlu memahami sistem perundangan sebelum membuat pernyataan media yang boleh mengelirukan rakyat2.

Peguam, Amrit Pal Singh berkata, Akta PSMB 2001 adalah sistem perundangan yang mengawal selia dan mentadbir segala perancangan dan pelaksanaan operasi pentadbiran HRD Corp.
"Seksyen 26 dalam akta tesebut memberikan kuasa untuk menubuhkan panel pelaburan oleh menteri yang terbabit dan hendaklah terdiri daripada pengerusi lembaga, dua orang anggota yang dilantik oleh lembaga daripada kalangan anggotanya, ketua eksekutif, wakil Kementerian Kewangan, wakil Bank Negara Malaysia (BNM) dan dua orang lain yang mempunyai pengalaman perniagaan dan kewangan yang dilantik oleh menteri,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Amrit Pal mengulas laporan pada 4 Julai lalu dimana Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sebanyak RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan telah digunakan HRD Corp untuk melabur sedangkan ia bukanlah sebuah institusi pelaburan.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pihaknya mendapati HRD Corp telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.
Mengulas lanjut, Amrit Pal berkata Seksyen 27 akta yang sama turut memberikan kuasa untuk melabur dalam pelaburan atau sekuriti yang dibenarkan bagi pelaburan kumpulan wang amanah di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa.
“Selain itu, dalam syer dan debentur (surat akuan) mana-mana syarikat awam yang harga bagi syer dan debentur itu disebut di Bursa Malaysia atau dalam apa-apa pelaburan atau sekuriti lain sebagaimana yang diputuskan oleh panel pelaburan.
"Sudah terang lagi bersuluh, HRD Corp tidak melakukan apa-apa kesalahan dari segi undang-undang untuk membuat pelaburan atau dari segi moral juga kerana pelaburan yang dibuat telah menjana keuntungan yang besar," jelas beliau.
Justeru, Amrit Pal menasihati semua pihak terutama Ahli-ahli Parlimen atau mana-mana jawatankuasa agar memahami sistem perundangan di negara ini sebelum mengeluarkan pernyataan tidak tepat yang boleh mengelirukan rakyat.
“Sebagai ahli politik dan ketua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mereka harus lebih bertanggungjawab apabila membuat pernyataan media,” ujarnya.
Semalam media melaporkan HRD Corp mencatat keuntungan bersih pelaburan tidak nyata sebanyak RM69 juta sehingga akhir Disember 2023.
Jumlah tersebut melibatkan kira-kira 98.7 peratus daripada keseluruhan portfolio pelaburan HRD Corp yang bernilai RM3.6 bilion.
#HRD Corp #Keuntungan bersih HRD Corp #Mas Ermieyati Samsudin #Amrit Pal Singh #Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 #pelaburan
;