Akta Profesion Kerja Sosial bakal diwujud

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 9, 2019 11:58 MYT
DR WAN AZIZAH: Bagi menangani masalah kekurangan kakitangan pekerja sosial, Kementerian telah mula berbincang dengan JPA agar ia dapat diselesaikan. - Gambar fail
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bakal mewujudkan Akta Profesion Kerja Sosial yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember ini.
Menterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, langkah itu diambil supaya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat memberikan fokus kepada skop tugas pekerja sosial.
“Rang undang-undang ini bakal mengukuhkan lagi peranan dan keberkesanan perkhidmatan pekerja sosial agar ia bertepatan dengan cabaran masalah sosial yang semakin kompleks.
"Bagi menangani masalah kekurangan kakitangan pekerja sosial, Kementerian telah mula berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam agar perkara ini dapat diselesaikan.
“Pada masa yang sama, kementerian juga bercadang untuk meningkatkan kolaborasi bersama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan kumpulan sasar menerima perlindungan sewajarnya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) yang bertanya sama ada kementerian akan mengkaji keberkesanan sistem perlindungan sosial di bawah JKM yang disifatkan Pelapor Khas PBB sebagai “fragmented” dan tidak mempunyai kakitangan mencukupi.
Berdasarkan kajian Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang dijalankan mulai 26 November 2018 hingga Jun 2019, nisbah pekerja sosial di JKM berbanding populasi penduduk Malaysia adalah 1:8,576.
Wan Azizah menyifatkan nisbah tersebut adalah besar jika dibandingkan dengan negara-negara lain seperti 1:490 di Amerika Syarikat, 1:1,040 di Australia, 1:3,025 di United Kingdom dan 1:3,448 di Singapura.
#Akta Profesion Kerja Sosial #Dewan Rakyat #Jabatan Perkhidmatan Awam #jkm #JPA #kumpulan sasar #Maria Chin Abdullah #NGO #pekerja sosial #Pelapor Khas PBB #perlindungan #Rang Undang-Undang #skop tugas #undang-undang #Wan Azizah Wan Ismail
;