Akta Perumahan lapuk dorong lambakan projek terbengkalai
Hilmi Malik
Julai 14, 2023 23:36 MYT
Julai 14, 2023 23:36 MYT
KUALA LUMPUR : Kerajaan perlu meneliti semula Akta Perumahan yang masih lemah dan lapuk sehingga mendorong kepada berlakunya punca lambakan projek perumahan terbengkalai serta bermasalah.
Pengerusi Persatuan Pemilik Bangunan Terbengkalai Malaysia (Victims), Dr Mohamed Rafick Khan Abdul Rahman berkata, faktor masalah daripada pihak pemaju sendiri juga perkara yang tidak dapat dinafikan timbulnya permasalahan berkenaan.
Tegasnya, ia termasuk kelemahan dalam mengawal proses awal terhadap penjualan rumah yang masih lagi tidak siap dibina sepenuhnya.
“Kita ada akaun pembangunan perumahan, jadi itu sebenarnya menolong pembeli secara teori, tetapi praktikalnya apabila duit itu sudah keluar daripada akaun peminjam rumah, duit itu hakikatnya milik pemaju…dari segi asas pun perkara ini tidak betul.
“Undang-undang itu sendiri tidak membina kepercayaan kepada orang ramai. Sebenarnya ramai pembeli yang terlibat termasuk dari luar negara. Kalau kita ubah undang-undang ini, kita kawal risiko dan kita jangan kawal pembinaan, sepatutnya duit itu tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya. Pemaju hari ini membuat gambaran produk dalam pelbagai bentuk dan mereka jual, sebab itu perlu kawal proses penjualan itu.
“Sebagai kerajaan, mereka seharusnya belajar, lambakan projek yang bermasalah tentu ada puncanya di akta jadi perlu faham kenapa begitu banyak projek rumah yang terbengkalai,” katanya semasa program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Dr Rafick menyifatkan, sikap pemaju yang gagal mengawal aliran kewangan juga menjadi punca ia tidak selari dengan projek pembinaan.
Tambahnya, ada juga segelintir pihak yang menggunakan alasan COVID-19 sebagai punca utama untuk mempersiapkan sesebuah projek perumahan.
“Kalau kita tengok statistik keseluruhan jumlah unit yang terlibat (rumah terbengkalai) akibat daripada pandemik cuma 25 peratus ke bawah… selebihnya sebelum itu sudah mula ada lambakan malah sejak puluhan tahun lagi,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Hafidz Haron yang berkongsi pengalaman sebagai salah seorang mangsa pembeli projek perumahan terbengkalai berkata, kerajaan dilihat kurang efektif dalam membantu memperjuangkan nasib pembeli.
“Sepanjang kami berurusan, secara keseluruhannya tidak banyak yang membantu sangat, kuasa ada pada mereka tetapi tidak digunakan, sama ada mereka tidak mahu 'tekan' pemaju itu kita tidak pasti.
“Mereka tiada kesungguhan untuk membantu pembeli, jadi sebagai mangsa ia bergantung kepada usaha sendiri untuk berjuang mendapatkan hak sendiri.
“Peringkat pihak berkuasa tempatan pula kebanyakannya hanya adakan sesi dialog, bantu cuma sekadar pemudah cara selebihnya tetap bergantung kepada usaha pembeli sendiri,” jelasnya.
Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengenal pasti 481 projek sakit dan 112 projek terbengkalai di seluruh negara.