Akta Perlindungan Pemberi Maklumat masih banyak kelemahan, perlu ditambah baik - TI-M
Israr Khalid
Disember 9, 2022 05:45 MYT
Disember 9, 2022 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Masih banyak kelompongan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang perlu diperbaiki dan ditambah baik supaya rakyat lebih berani dan yakin untuk melaporkan sebarang kegiatan jenayah di negara ini.
Jelas Presiden Transparency International Malaysia Dr Muhammad Mohan, ada beberapa seksyen dalam akta tersebut yang bercanggah dengan undang-undang lain yang menyebabkan perlindungan kepada seseorang pemberi maklumat itu terlucut.
“Contohnya Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) dan sebagainya yang menyebabkan secara automatik perlindungan mereka hilang, jadi bila pemberi maklumat sedar perkara ini, mereka takkan ke depan untuk memberi maklumat.
“Jadi ia perlu diperbaiki dan kemudian barulah kita boleh memberi pengajaran serta maklumat kepada rakyat bahawa akta ini sudah lebih mesra maka mereka akan lebih berani untuk tampil memberi maklumat dan mereka akan dijamin perlindungan,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.
Untuk menyokong aspek itu, tegas Muhammad, amalan akauntabiliti harus dibudayakan di mana setiap individu harus mempunyai rasa kebertanggungjawaban terhadap setiap tindakannya.
Sekiranya melakukan kesalahan, seseorang itu haruslah sedia berdepan akibatnya - bukan cuba untuk melepaskan diri daripada dihukum.
“Ini yang menjadi masalah di negara kita, budaya akauntabiliti saya rasa masih tak memuaskan,” katanya.