Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dikembalikan, pertingkat kuasa autonomi Parlimen

Astro Awani
Oktober 18, 2018 17:51 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) tiba bagi mengemukakan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11, 2016-2020: Keutamaan dan Penekanan Baharu di Bangunan Parlimen hari ini. - fotoBERNAMA
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Kerajaan akan mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dalam usaha mempertingkatkan kuasa autonomi Parlimen.
Selain itu, Kerajaan bakal memperkenalkan sebuah jawatankuasa pemilih bagi bertanggungjawab memperaku pelantikan jawatan utama di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
"Suruhanjaya tertentu seperti SPRM dan SPR akan juga bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen.
"Langkah segera untuk mereformasi sistem politik juga akan dilaksanakan. Tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal. Perdana Menteri juga tidak akan memegang portfolio lain," kata Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sewaktu sesi pembentangan laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) di Parlimen, di sini hari ini.
BACA: Ini dokumen Reformasi - Ucapan Pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK11
Turut ditekankan adalah pembanterasan rasuah secara menyeluruh yang membabitkan sektor awam dan swasta.
"SPRM akan ditransformasi sebagai sebuah badan bebas sepenuhnya dan Akta SPRM 2009 akan dikaji semula secara menyeluruh, manakala undang-undang pencegahan rasuah juga akan diperkukuh dengan mengkaji semula Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010," tambah beliau.
Pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK-11 2016-2020 itu dibuat di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Yusof.
Ia pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia pertama bagi kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negara susulan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.
Dr Mahathir turut menggariskan enam tonggak utama dalam pembentangan kali ini. Penekanan baharu dan keutaaman akan difokuskan:
* Pertama: Mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam;
* Kedua: Memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat;
* Ketiga: Menuju ke arah pembangunan wilayah yang seimbang;
* Keempat: Memperkasa modal insan;
* Kelima: Mempertingkat kemampanan alam sekitar melalui pertumbuhan hijau;
* Keenam: Memperkukuh pertumbuhan ekonomi.
#Akta Perkhidmatan Parlimen #kerajaan #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #Parlimen #pilihan raya umum #politik #SPRM #Suruhanjaya Pilihan Raya #undang-undang
;