Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 akan dipinda - Zahid Hamidi
Bernama
April 15, 2014 20:26 MYT
April 15, 2014 20:26 MYT
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meminda Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 bagi mengenakan hukuman lebih keras terhadap mereka yang menyalah guna ayat suci al-Quran.
Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pindaan itu mencadangkan agar hukuman denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun sekarang dinaikkan kepada denda tidak lebih RM50,000 dan penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya.
Cadangan pindaan ini diusul oleh Lajnah Tashih Al-Quran KDN yang bermesyuarat Selasa bagi mengekang penyalahgunaan ayat suci al-Quran termasuk dijadikan azimat di kedai makan sebagai pelaris perniagaan, katanya dalam sidang media, di sini.
Katanya pindaan itu dijangka dilakukan tahun ini, namun KDN akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi mendapatkan pandangan.
Seterusnya cadangan ini perlu dibawa ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu untuk mendapat perkenan, katanya.
Dalam mesyuarat itu, lajnah atau jawatankuasa yang berperanan menyemak kesahihan al-Quran yang diedar kepada umat Islam di negara ini, turut membincangkan langkah-langkah memperkukuh pencegahan dan tindakan terhadap penyebaran fahaman antihadis.
Sementara itu, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang turut hadir berkata penyalahgunaan ayat suci al-Quran terutama oleh peniaga harus dibendung kerana boleh menjejaskan akidah umat Islam.
"Ayat suci al-Quran adalah panduan kehidupan untuk umat Islam dan bukannya dijadikan sebagai azimat dan pameran," katanya.
Beliau juga mendedahkan perbuatan segelintir pensyarah di institusi pengajian tinggi yang sewenang-wenang memetik ayat al-Quran untuk memupuk kebencian sesama umat Islam.