Akta pendanaan politik: Langkah pertama bersihkan sistem politik negara

Astro Awani
Oktober 16, 2021 10:03 MYT
Akta pendanaan politik merupakan langkah pertama dalam membersihkan sistem politik negara dan membawa kepada sistem yang lebih telus dan mampan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Akta pendanaan politik merupakan langkah pertama dalam membersihkan sistem politik negara dan membawa kepada sistem yang lebih telus dan mampan.
Pengurus Unit Demokrasi dan Tadbir Urus IDEAS, Aira Azhari berkata, terdapat banyak faktor lain yang juga perlu diberi perhatian seperti peruntukan untuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Contohnya CDF (peruntukan untuk Ahli Parlimen, ADUN), ini sistem yang sangat tidak telus. Kita ada ketidakadilan peruntukan semasa zaman kerajaan sebelum ini. Ahli Parlimen di sebelah pembangkang dapat wang sedikit atau tiada langsung.
Dana Politik | Segera gubal akta, peraturan pendanaan politik
“Kedua, kita kena ambil kira bagaimana sesetengah parti politik di Malaysia terlibat dalam aktiviti perniagaan. Bisnes besar, memiliki aset besar berbanding parti lain. Ada parti yang sangat kaya, tapi ada parti yang tak ada duit langsung.
“Kita juga kena ingat, bagaimana rakyat Malaysia terutamanya sekarang, ramai perlukan bantuan daripada kerajaan, ramai hilang pekerjaan, ramai harap pada wakil rakyat mereka untuk beri bantuan ini, beri makanan, kewangan,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambah beliau, perbincangan mengenai pendanaan politik di Malaysia lazimnya memfokuskan kepada cara mengawal wang digunakan parti politik ketika pilihan raya atau di luar kempen pilihan raya.
Dana Politik | Wang ibarat 'minyak pelincir' kepada politik
Justeru, berdasarkan kajian dilakukan beliau, skopnya diperluaskan dan turut mengaitkan pemilihan dalaman parti juga.
“Tapi kajian yang saya tampilkan kali ini, saya ingin lihat skop yang lebih luas. Saya timbulkan isu kebajikan, isu parti politik dan bisnes, pemilihan dalaman parti juga.
“Apa yang kita belum fikirkan ialah pilihan raya atau pemilihan parti itu sendiri, yang kita belum ada mekanisme kawal selia. Kita tahu pemilihan parti juga terpalit ‘accusation of corruption’. Dah ada macam-macam.
“Ada juga rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Saya harap kita boleh lebih menyeluruh supaya bila kita bercakap tentang parti politik dan pemilihan parti, ketelusan dalam parti itu sendiri perlu dijamin,” ujarnya.
BACA: Draf RUU Akta Pembiayaan Dana Politik sudah siap - Wan Junaidi
Astro AWANI sebelum ini melaporkan kerajaan telah menyediakan draf Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembiayaan Dana Politik dan ketika ini ke arah peringkat libat urus dengan pemegang taruh.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perbincangan telah dilakukan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara sebanyak dua kali berhubung usaha untuk melaksanakan RUU berkenaan.
Jelas beliau, undang-undang yang bakal dibuat perlu lebih komprehensif, menyeluruh serta memenuhi cita rasa semua pihak di negara ini.
#dana politik #Rasuah #politik #ahli Parlimen