Akta Pembiayaan Politik bukan aniaya parti - Akhbar Satar
Wan Syamsul Amly
Februari 9, 2019 13:46 MYT
Februari 9, 2019 13:46 MYT
Penggubalan Akta Pembiayaan Politik memastikan undang-undang itu kelak bukan bertujuan menganiaya mana-mana parti politik.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar berkata, ia sekali gus memastikan rakyat mempunyai kepercayaan bahawa setiap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memilih bulu.
Jelasnya, akta itu dibuat jawatankuasa khas yang terdiri daripada pakar-pakar serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Apabila mana-mana parti politik tidak kira Pakatan Harapan (PH) atau pembangkang yang menyalahkan akta yang akan digubal ini, hendalah disiasat dengan profesional.
"Kita juga hendak pastikan apabila SPRM berada di bawah Parlimen, sudah tentu ia dapat bergerak dengan bebas dan tidak ada apa-apa arahan atau 'wahyu' yang diterima dan menyebabkan SPRM menjalankan siasatan terutama sekali dalam akta ini secara pilih bulu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dilaporkan berkata bahawa penggubalan Akta Pembiayaan Politik merupakan salah satu keutamaan dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 29 Januari lepas.
Dalam pada itu kata Akhbar, Peguam Negara juga perlu dipastikan bebas dan menentukan sesuatu kes berdasarkan fakta selain tidak bermotifkan politik.
"Ia akan menyebabkan tiada siapa merasa tergugat atau ditekan terutama parti politik.
"Parti politik juga perlu mamatuhi akta itu dan memastikan semua pembiayaan politiknya masuk ke akaun parti dan bukan akaun sendiri.
"Ia juga hendaklah diaudit oleh auditor yang diiktiraf dan tidak disalah guna oleh mereka yang mempunyai kuasa dalam politik," ujarnya.
Dr Mahathir sebelum ini mengakui, kos pengendalian tinggi menyebabkan kerajaan kini mengkaji kemungkinan memperkenalkan akta baharu bagi mengawal aktiviti pembiayaan dan dana bagi parti-parti politik.
Jelasnya, jalan penyelesaian isu keperluan dana akan diselesaikan walaupun mengakui ia proses yang sangat sukar untuk kerajaan.
#Abu Kassim Mohamed
#Akta Pembiayaan Politik
#GIACC
#Mahathir Mohamad
#NGO
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#Peguam Negara
#politik
#Rasuah
#SPRM