Akta Pekerja Sosial jamin kompetensi, profesionalisme pekerja sosial - Rohani
Bernama
Januari 20, 2017 23:00 MYT
Januari 20, 2017 23:00 MYT
Akta Pekerja Sosial akan diperkenalkan bagi menjamin kompetensi dan profesionalisme pekerja sosial untuk melaksanakan kerja-kerja sosial dalam pelbagai bidang keperluan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Beliau berkata akta berkenaan sedang digubal dengan mengambil kira pandangan dan pendapat pihak berkepentingan termasuk media sebelum dibentangkan dan diluluskan di Parlimen.
"Akta ini pernah dicadangkan pada 2010 tetapi menerima bantahan daripada beberapa pihak termasuk negeri Sarawak. Kami lihat teguran secara positif and memasukkan apa yang tercicir.
"Kita mahu akta ini lengkap semasa dibentangkan kerana ia dapat meningkatkan keupayaan dan kualiti perkhidmatan kebajikan masyarakat secara keseluruhannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.
Rohani berkata Akta Orang Papa 1977 dan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 juga perlu dipinda untuk menambah baik amalan penguatkuasaan terhadap mangsa keganasan rumah tangga dan orang papa.
"Contohnya, kejadian golongan gelandangan yang semakin menjadi-jadi dan isu mangsa keganasan yang tidak mendapat perlindungan serta merta kerana proses mahkamah mengambil masa.
"Oleh itu, pindaan akta inilah yang akan memberi peluang kepada kita untuk membetulkan keadaan dan memberi perlindungan yang lebih baik kepada kumpulan sasar kita," jelas beliau.
Dalam perkembangan lain, Rohani berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan polis untuk mengenal pasti sama ada gambar tiga kanak-kanak yang diikat dipercayai didera di sebuah taska di Bangi, yang tular semalam, adalah sahih.
"Kementerian telah menghantar pegawai pelindung untuk siasat perkara ini. Polis telah mengambil keterangan pengusaha taska dan ibu bapa kanak-kanak itu. Biarlah polis selesai siasatan mereka. Sudah pasti, cara ikatan itu bukan prosedur operasi standard yang ditetapkan untuk taska," katanya.
Ditanya mengenai misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang digantung, Rohani berkata pihaknya telah menerangkan kepada keluarga mangsa bahawa misi itu hanya digantung dan bukan dihentikan.
"Kita sentiasa bersama, bertemu dan memberi kaunseling kepada keluarga mangsa agar tabah menghadapi berita sedih itu," katanya.
Penerbangan MH370, bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar ketika terbang ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.
-- BERNAMA