Akta Media Sosial perlu dinamik, merentas masa - Pakar
Irwan Muhammad Zain
Mac 15, 2024 15:46 MYT
Mac 15, 2024 15:46 MYT
KUALA LUMPUR: Sesuatu akta atau garis panduan yang mahu diwujudkan seharusnya perlu bersesuaian dengan perkembangan teknologi dan media sosial yang sentiasa berubah.
Menurut Pakar Keselamatan Maklumat Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Ts Dr Nur Izura Udzir, akta dan garis panduan itu seharusnya boleh merentas masa.
Selain itu, Nur Izura menjelaskan akta atau garis panduan itu perlu boleh meramalkan perubahan-perubahan teknologi dan media sosial.
"Selain daripada itu kita juga perlukan kepada kerjasama yang baik antara platform-platform media sosial yang ada ini.
"Mereka ini perlu sama-sama membantu dan bersama dengan agensi-agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan dan undang-undang.
"Kerjasama dari platform-platform media sosial dan agensi terbabit ini sangat penting," katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Communication & Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF or Content Forum) Mediha Mahmood, akta-akta sedia ada boleh dimanfaatkan untuk mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak.
"Saya faham kerajaan sekarang pun sedang meneliti sama ada kita perlu akta baharu, jadi saya serahkan perkara itu kepada MCMC atau kerajaan.
"Pada saya keperluan itu ada untuk mengadakan akta baharu tapi caranya perlu pastikan supaya kita dapat instrumen yang sewajarnya supaya ia mampan dan efektif serta boleh dilaksanakan.
"Tidak ada guna jika ada akta baharu tetapi tidak boleh digunakan," katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Digital dan Teknologi Maklumat PIBG, SK Paya Rumput, Melaka, Dr Bahsharudin Mohd Sharif berpendapat, perlu ada mekanisme untuk mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.
"Kita tidak menindakkan penggunaan media sosial, tetapi dia perlu ada satu mekanisme di sini, di mana ia perlu ada panel atau jawatankuasa bersama ibu bapa dan juga Kementerian Pendidikan.
"Perlu jelas apa yang boleh diakses oleh anak-anak ini, apa tidak boleh diakses dan apa yang perlu kita hadkan," katanya.
Pada 4 Feb lepas, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan terdapat cadangan diwujudkan satu bentuk kawal selia susulan peningkatan kes melibatkan keselamatan siber, privasi, hak cipta dan kandungan tidak bermoral di platform-platform media sosial.
Ini kerana, menurut Fahmi itu, kesemua platform sosial media di Malaysia masih belum dikawal selia oleh mana-mana akta dan undang-undang.
Namun pada 14 Mac lalu, menteri yang sama menjelaskan kerajaan tiada cadangan untuk mewujudkan akta khusus bagi tujuan mengawal selia platform media sosial.
Menteri tersebut menjelaskan, kerajaan tidak pernah mengumumkan sebarang niat untuk penggubalan akta seumpama itu.