Akta Kontrak: Jawatankuasa semakan diberi 18 bulan laksana kajian menyeluruh
Bernama
Februari 12, 2025 21:45 MYT
Februari 12, 2025 21:45 MYT
Azalina berkata Akta 136 yang menjadi asas kepada undang-undang komersial di Malaysia sejak lebih tujuh dekad lepas telah melalui tiga kali pindaan dengan terakhir pada 49 tahun dahulu. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Semakan dan Pembaharuan Undang-Undang Kontrak diberikan tempoh 18 bulan untuk melaksanakan semakan dan kajian menyeluruh terhadap Akta Kontrak 1950 (Akta 136) yang menjadi antara agenda di bawah reformasi institusi kerajaan MADANI.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata tempoh itu bermula dari tarikh mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan pada 14 Jan lepas dengan kajian akan dilaksanakan melalui tiga fasa.
Beliau berkata ia merangkumi fasa satu, iaitu penilaian undang-undang semasa dan analisis perbandingan manakala fasa dua melibatkan pemodenan dan cadangan pembaharuan serta fasa tiga (penyatuan, syor dan draf perundangan).
"Tiga cadangan akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa untuk memperbaik Akta 136. Pertama, pindaan kepada akta dengan mengemas kini akta ini bagi menangani jurang dan peruntukan lapuk.
"Kedua, memansuhkan Akta 136 dan menggantikan dengan undang-undang baharu yang lebih komprehensif ke arah memodenkan dan menyatukan prinsip undang-undang kontrak serta ketiga, pindaan kepada Akta 136 dan memperkenalkan perundangan baharu untuk menangani isu-isu semasa dalam bidang tertentu," katanya.
Azalina berkata demikian pada sesi penerangan menteri berkaitan kajian pembaharuan undang-undang kontrak di Malaysia pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata Akta 136 yang menjadi asas kepada undang-undang komersial di Malaysia sejak lebih tujuh dekad lepas telah melalui tiga kali pindaan dengan terakhir pada 49 tahun dahulu.
Mengambil kira tempoh pindaan yang sudah terlalu lama, katanya Akta 136 boleh dikategorikan sebagai undang-undang lapuk dan tidak mampu menangani isu transaksi digital, desakan ekonomi, model perniagaan zaman moden, perdagangan antarabangsa serta kekecewaan dan ketidakadilan dalam perjanjian sehingga menyebabkan banyak kebergantungan terhadap tafsiran kehakiman.
"Justeru, pembaharuan undang-undang kontrak merupakan komitmen kerajaan MADANI dalam menjayakan satu daripada reformasi institusi yang sedang giat dilaksanakan.
"Hal ini bagi menambah baik undang-undang berkaitan bidang komersial agar lebih relevan dengan perkembangan dan situasi semasa selaras perkembangan pada peringkat antarabangsa serta memastikan sektor perundangan komersial di Malaysia terus bergerak dinamik sejajar perubahan zaman," katanya.
-- BERNAMA