Akta Komunikasi & Multimedia 1998: Nilai denda antara yang diteliti - Fahmi
Hasimi Muhamad
Mac 8, 2024 18:36 MYT
Mac 8, 2024 18:36 MYT
PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memberi kelulusan secara dasar kepada Kementerian Komunikasi untuk meneliti semula Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata antara aspek yang akan diteliti termasuk isu teknikal dan nilai denda yang mungkin dikenakan atas pelanggaran yang termaktub dalam akta berkenaan.
Jelas beliau, ketika ini denda yang ditetapkan tidak berubah sejak akta berkenaan diwujudkan pada 1998.
"Tentang aspek nilai, sudah pasti selepas ini pihak kementerian akan mengadakan siri pertemuan dan libat urus bersama pemegang taruh termasuk pihak industri dan pihak-pihak pain mengambil kira pandangan daripada semua pihak.
"Ada ada beberapa faktor kita teliti, iaitu salah satunya adalah mengenai pematuhan standard. Sebagai contoh, nilai yang ada pada masa ini adalah nilai berdasarkan nilai mata wang 1998 dan saiz ekonomi pada waktu itu.
"Kalau kita banding, apakah nilai yang sesuai dan suai manfaat dengan keadan hari ini. Jadi seharusnya jika ada perubahan kepada nilai (denda) tersebut, ia adalah pada kadar dan nilai yang bersesuaian dengan nilai ekonomi termasuk hari ini," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kementerian akan turut meneliti aspek yang perlu ditambah baik dan diperkemas seperti Seksyen 233.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia menetapkan kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian untuk menghantar komunikasi yang dianggap menyinggung perasaan atau boleh menyebabkan kegusaran kepada orang lain.
"Ramai dalam kalangan Ahli Parlimen yang mempunyai pandangan tegas. Pada masa yang sama ada juga yang berpandangan, adakah akta cukup kuat atau tidak. Tetapi itu hanya sebahagian (daripada penambahbaikan).
"Rata-rata secara keseluruhan industri industri telekomunikasi telah menyaksikan perkembangan yang cukup besar sejak akta ini digubal pada 1998," ujar beliau.