Akta Kerja: Majikan perlu lebih bijak, berhemah dalam perancangan

Madiha Abdullah
Disember 27, 2022 16:56 MYT
Mohamed Shafie berkata pekerja sudah lama ditindas dan majikan sewajarnya menyambut baik pendekatan yang mampu meningkatkan produktiviti perniagaan. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Majikan seharusnya lebih bijak dan proaktif dalam perancangan mereka selepas penguatkuasaan pindaan Akta Kerja 1955 dilaksanakan.
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, golongan pekerja sudah lama ditindas dan majikan sewajarnya menyambut baik pendekatan yang mampu meningkatkan produktiviti perniagaan.
"Jangan sampai mengugut, kalau benda ini dilaksanakan ia akan menyusahkan pelanggan sebab pelanggan bukan masalah. Sekarang kita nak lihat bagaimana majikan hadapi pindaan tersebut. Tak bolehlah cakap akan transfer cost kepada pelanggan, nanti pelanggan akan cakap harga naik berpunca daripada pindaan itu, itu tak betul.
"Yang penting bagaimana peniaga nak tangani pindaan ini apabila ia dijalankan. Kita tutup cerita kos meningkat sebab pekerja sudah lama ditindas, bukan satu dua hari.
"Jadi kalau ada satu pendekatan baharu, majikan patut sambut dengan berhemah dan cari kaedah terbaik bagaimana nak tanganinya, bukan kata kos akan naik dan transfer kepada pelanggan.
"Peniaga hari ini terutama syarikat besar mesti ada pelan tindakan, jangan jadikan akta ini batu penghalang sebaliknya kena lihat dengan pelaksanaan ini, pekerja rasa lebih dihargai, produktiviti juga akan meningkat," katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam program Pantau Kerajaan Baharu, pada Selasa.
Pantau Kerajaan Baharu | Akta Kerja: Imbangi kelestarian perniagaan, tingkat produktiviti pekerja
Jelasnya, proses yang dilalui sebelum keputusan diambil untuk melaksanakan pindaan itu sudah mengambil masa yang lama, termasuk sesi libat urus dengan pemain industri dan dibahaskan di Parlimen serta Dewan Negara.
Ujarnya, produktiviti syarikat banyak bergantung kepada pekerja, dan pelaksanaan pindaan itu memberi nilai tambah kepada motivasi pekerja, namun mencari keseimbangan antara kelestarian perniagaan dan produktiviti juga memerlukan pihak majikan memainkan peranan dalam memperbaiki kelemahan, termasuk dari segi menambah baik kemahiran pekerja.
"Produktiviti ini banyak komponen, salah satunya latihan komunikasi. Ini sangat penting, contohnya apa yang diluluskan pengurusan, berita kena sampai ke bawah, semua orang kena faham visi dan misi syarikat.
"Kedua, tengok apa kelemahan yang ada pada syarikat dan pekerja, mesti ada satu garis panduan strategik untuk kenal pasti ruang kelemahan yang perlu diperbaiki.
"Kalau syarikat asyik cerita produktiviti setiap hari, itu takkan bantu apa-apa, kena ambil kira apek latihan kerana pekerja yang terlatih akan bersedia menjalankan tugas pada bila-bila masa, semua kerja dia boleh buat," katanya lagi.
Minggu lalu, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar memaklumkan penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (pindaan) 2022 yang sebelum ini ditangguhkan, akan dilaksanakan pada 1 Januari 2023.
Terbaharu, Sivakumar mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bagi kategori majikan yang menggajikan pekerja kurang daripada lima orang yang sepatutnya berkuat kuasa 1 Januari ini, ditangguhkan kepada 1 Julai 2023.
#Akta Kerja #pindaan #Pekerja #majikan
;