Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga dibawa ke Parlimen tahun ini - Nik Nazmi

Irfan Faruqi
Jun 25, 2023 21:34 MYT
Nik Nazmi berkata pihaknya akan meneliti untuk memperluas senarai kelengkapan elektrik dibawah piawaian Minimum Energy Performance Standard (MEPS). - foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Akta Kecekapan dan Koservasi Tenaga akan dibawa ke Parlimen pada tahun ini.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, akta tersebut akan membantu negara dalam usaha beralih kepada penggunaan tenaga boleh baharu yang lebih menyeluruh.
“Akta Kecekapan dan Koservasi Tenaga yang telah diusahakan sejak tujuh hingga lapan tahun yang lepas. Saya berbincang dengan Peguam Negara, kita jangkakan akta ini akan dibawa ke Parlimen tahun ini.
“Butirannya kita akan umumkan. Cuma, apa yang boleh saya katakan, akta ini tidak memberi kesan kepada semua. Ia akan melibatkan pihak komersial dan industri yang menggunakan tenaga yang tinggi, yang mungkin melibatkan pelaksanaan audit tenaga dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Ahad.
Akta Kecekapan dan Koservasi Tenaga dibawa ke Parlimen tahun ini - Nik Nazmi
Menurut Nik Nazmi, pihaknya berharap akta tersebut akan menggalakkan adaptasi teknologi tenaga boleh baharu dalam sektor perindustrian yang menggunakan tenaga pada kadar sederhana dan tinggi.
Dorongan kepada industri ini adalah sama seperti strategi kerajaan menaikkan tarif elektrik bagi industri yang menggunakan tenaga elektrik pada kadar tinggi dan sederhana pada awal tahun ini, yang menyebabkan banyak perusahaan meningkatkan pemasangan sistem solar di premis masing-masing.
Selain itu, Nik Nazmi berkata pihaknya akan meneliti untuk memperluas senarai kelengkapan elektrik dibawah piawaian Minimum Energy Performance Standard (MEPS).
“Setakat ini ada sembilan jenis kelengkapan elektrik yang akan diberikan piawaian Minimum Energy Performance Standard (MEPS) iaitu mesin basuh, peti sejuk, penyaman udara, televisyen, kipas, lampu, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi elektrik dan penyejuk beku. Itu memang ada dan kita mungkin akan kembangkan lagi senarainya,” katanya lagi.
#Agenda Awani #Nik Nazmi #Parlimen #Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga #tenaga boleh baharu
;