Akta Kawalan Merokok demi kesihatan awam, bukan kepentingan industri - Green Lung

Bernama
Oktober 9, 2024 22:00 MYT
Pertubuhan Green Lung Malaysia memaklumkan Akta 852 dirangka berdasarkan bukti saintifik dan diluluskan kerajaan atas dasar melindungi kesihatan awam. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Semua pihak diseru menghormati penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dan memahami bahawa langkah-langkah ini diambil demi kesejahteraan rakyat Malaysia dan bukan atas kepentingan industri semata-mata.
Pertubuhan Green Lung Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan Akta 852 dirangka berdasarkan bukti saintifik dan diluluskan kerajaan atas dasar melindungi kesihatan awam.
"Pihak Green Lung menegaskan bahawa tindakan kerajaan melalui akta ini adalah untuk mengurangkan ketagihan nikotin, mengelakkan pelbagai penyakit akibat merokok dan mengurangkan beban kos rawatan serta kehilangan produktiviti di negara ini," kata kenyataan itu.
Pertubuhan Green Lung turut menyatakan kekecewaannya terhadap kenyataan dikeluarkan oleh Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) yang menggesa kerajaan untuk mengkaji semula Akta 852 itu dan mendakwa bahawa pengubahsuaian premis, perubahan susun atur, pemasangan unit penyimpanan dan kemas kini papan tanda yang mematuhi peraturan baru akan meningkatkan beban kerja serta kos operasi pengusaha.
Namun, Green Lung menegaskan bahawa gambaran diberikan oleh MSCSPGA tidak selari dengan hasil kajian mereka jalankan sebelum ini bagi menerokai jenis insentif yang diberikan oleh industri tembakau kepada penjual produk tembakau, termasuk kedai kopi, kedai serbaneka dan kedai runcit.
"Berdasarkan hasil kajian itu, industri tembakau telah lama menyediakan insentif kepada pengusaha kedai seperti kedai kopi, kedai serbaneka, dan kedai runcit, selain lebih daripada separuh (52.5 %) pengusaha premis sudah menyusun atur produk tembakau di kaunter jualan mengikut pelan yang dibekalkan oleh wakil syarikat rokok," menurut kenyataan itu.
Oleh itu, pihak Green Lung hairan mengapa larangan paparan produk tembakau kini dianggap sebagai bebanan, sedangkan ia sepatutnya mengurangkan masa dan usaha pengusaha dalam menyusun produk.
Kenyataan itu turut mempersoalkan pihak terbabit yang tidak pernah membuat aduan berkenaan susun atur kabinet produk tembakau lebih kompleks dan membebankan yang dituntut oleh pihak industri tembakau sebelum ini.
Mengikut kenyataan, pihak berkenaan turut menyatakan beberapa pengusaha premis mengakui bahawa wakil syarikat tembakau sering membantu mereka menyusun produk rokok di kedai mereka selain terdapat pengusaha yang mengatakan bahawa kabinet untuk memaparkan produk itu disediakan oleh industri tembakau sendiri.
"Maka, pihak berkenaan seharusnya menuntut bantuan daripada pihak industri jika mereka memerlukan kabinet baru dan bukannya menghalang pelaksanaan undang-undang yang jelas bermanfaat untuk kesihatan awam.
"Green Lung Malaysia juga menekankan bahawa keuntungan daripada produk tembakau adalah sebahagian kecil daripada perniagaan kedai-kedai ini berdasarkan dapatan kajian mereka," kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
#kesihatan awam #bukti saintifik #kos rawatan #MSCSPGA
;