Akta Hasutan: Usah jadikan isu Muhyiddin sebagai sentimen politik - Anwar

Bernama
Ogos 29, 2024 13:55 MYT
Anwar berkata tindakan membabitkan Muhyiddin diambil berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima laporan berkenaan secara terus dari Istana Pahang. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kes pendakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Akta Hasutan, tidak seharusnya dijadikan sentimen politik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata tindakan itu diambil berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima laporan berkenaan secara terus dari Istana Pahang.
"Laporan dibuat oleh Istana Pahang. Jadi tak usah dia pusing kerana dia nak main politik. Saya nak nasihat isu ini diangkat oleh Istana Pahang.
"Anda melanggar peraturan dan anda terlanjur. Anda perlulah berhadapan dengannya... laporan dibuat, polis ambil tindakan dan Ketua Polis Negara ambil tindakan susulan," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Anwar berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mendakwa kerajaan hipokrit berhubung isu pendakwaan terhadap Muhyiddin.
Semalam, Ahli Parlimen Larut itu juga menyatakan Anwar dan Pakatan Harapan (PH) secara zalim menggunakan Akta Hasutan selepas memegang tampuk kepimpinan, di samping mendakwa tindakan itu dibuat secara sengaja sebagai alat untuk menindas lawan politik.
Baru-baru ini, Presiden Bersatu itu tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri 14 Ogos lalu.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Muhyiddin Yassin #Akta Fitnah #sentimen politik
;