Akta Hasutan: Najib komited, namun dapat bangkangan pengikutnya - Saifuddin

T K Letchumy Tamboo
September 15, 2014 07:26 MYT
Saifuddin mempertahankan janji Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Hasutan.
Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini mempertahankan janji Perdana Menteri Najib Razak yang sebelum ini pernah berkata akan memansuhkan Akta Hasutan.
Saifuddin berkata Najib memang komited untuk memansuhkan Akta Hasutan seperti yang dijanjikan olehnya, namun orang di sekelilingnya tidak bersetuju dengan tindakan itu.
“Saya yakin PM hendak memansuhkan Akta Hasutan, tetapi beliau dikelilingi oleh orang yang tidak setuju dengannya.
“Apabila saya menjadi Timbalan Menteri, agak sukar untuk meminda beberapa undang-undang kerana bos saya tidak mahu, tetapi pada akhirnya, ia dilakukan, walaupun tidak sepenuhnya.
“Tugas kita adalah untuk tunjukkan bahawa kita hendak memansuhkan Akta itu. Insyallah mesej ini akan sampai kepada beliau,” kata bekas timbalan Menteri Pengajian itu semasa pelancaran Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH), di sini, hari ini.
Beliau berkata hanya ada satu sebab untuk mengekalkan Akta Hasutan iaitu untuk menakut-nakutkan rakyat.
“Esok Hari Malaysia. Alangkah baiknya jika kita meraikan Hari Malaysia tanpa Akta Hasutan,” katanya sambil menambah memansuhkan Akta Hasutan tiada kena mengena dengan parti politik.
Sementara itu, gesaan untuk memansuhkan Akta itu disuarakan dengan lantang oleh mereka yang hadir.
Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S. Ambiga berkata hanya terdapat sebuah institusi yang boleh menghentikan Akta Hasutan iaitu badan kehakiman.
Ahli Parlimen Padang Serai Surendran pula berkata tidak perlu ada undang-undang baru untuk menggantikan Akta Hasutan.
“Dah cukup undang-undang. Tak perlu diganti, tak perlu gubal. Hanya Mansuh Akta Hasutan,” katanya.
Sebanyak 128 organisasi termasuk SUARAM, Lawyers for Liberty dan Amnesty International Malaysia melancarkan GHAH sebagai tanda membantah Akta itu.
Antara tuntutan GHAH adalah untuk menghapuskan Akta Hasutan, menggugurkan semua pendakwaan sedia ada dan membebaskan semua yang dihukum di bawah Akta tersebut serta tidak ada akta gantian dengan peruntukan yang sama zalim.
Pelancaran yang dihadiri oleh lebih 200 orang itu, turut disertai oleh mereka yang pernah didakwa di bawah akta tersebut termasuk Naib Presiden PKR Tian Chua, Profesor undang-undang Universiti Malaya (UM) Azmi Sharom, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, aktivis mahasiswa Adam Adli, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS Mat Sabu.
Ramai yang hadir mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Najib Tun Razak yang didakwa memungkiri janji untuk memansuhkan akta itu.
Najib, pada 11 Julai, 2012 pernah berkata Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional sebagai sebahagian daripada program transformasi kerajaan.
Akta Hasutan 1948 sebelum ini telah dipinda sebanyak lima kali dah pindaan terakhirnya adalah pada tahun 1975.
Akta ini melalui seksyen 4(1) memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan yang kemudian, hukuman itu dinaikkan kepada penjara maksimum lima tahun.
#Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) #Mansuh Akta Hasutan #Saifuddin Abdullah
;