Akta Hasutan: Hak asasi manusia perlu dijaga, kata NGO
Sathesh Raj
November 27, 2014 22:40 MYT
November 27, 2014 22:40 MYT
Kerajaan perlu memastikan hak asasi rakyat dipelihara jika mereka ingin mengekalkan dan mengukuhkan Akta Hasutan 1948, kata sebuah badan bukan kerajaan hak asasi manusia.
Suara Rakyat Malaysia (Suaram) hari ini melahirkan kerisauannya terhadap Akta tersebut yang dipercayai 'hanya akan digunakan untuk menutup mulut kritik-kritik kerajaan'.
Pengarah eksekutifnya, Yap Swee Seng berkata terdapat double standard dalam pendakwaan di bawah Akta Hasutan dimana kerajaan sebelum ini nampaknya hanya bertindak menentang pihak pembangkang, aktivis-aktivis pelajar dan peguam-peguam yang berkritik terhadap kerajaan.
"Misalnya, golongan extremis yang mengancam untuk membakar kitab-kitab injil dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan terhadap mereka. Jelas terdapat double standard dan pendakwaan selektif di bawah pelaksanaan Akta Hasutan," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi hari ini.
Yap yang juga merupakan jurucakap Gerakan Hapuskan Akta Hasutan (GHAH), berkata GHAH akan terus berjuang untuk memansuhkan Akta Hasutan dan membela kebebasan bersuara rakyat.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, GHAH melabelkan Akta itu bukan sahaja lapuk dan ketinggalan zaman malah ia membantutkan pertumbuhan demokrasi dan menyekat kebebasan bersuara.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) berulang-kali berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan... beliau perlu bertanggungjawab untuk menunaikan janjinya kepada rakyat Malaysia," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut, Akta tersebut telah disalahgunakan secara berleluasa untuk mendakwa ahli politik, para aktivis serta mereka yang bertentangan pendapat dengan kerajaan.
GHAH berkata, Akta Hasutan tiada tempatnya di dalam negara demokrasi dan moden seperti Malaysia, sekaligus menyeru Najib untuk menghormati prinsip-prinsip demokrasi, undang-undang negara dan menunaikan janjinya untuk menghapuskan Akta Hasutan.
Perdana Menteri awal hari ini telah mengumumkan akta itu akan dikekalkan dan dikukuhkan dengan penambahan dua peruntukan khas -- untuk memelihara kesucian agama Islam dan juga agama-agama lain, serta memastikan tindakan boleh diambil atas sesiapa yang menyeru pemisahan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.
Najib membuat pengumuman itu ketika menyampaikan ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO ke-68 di Pusat Dagangan Dunia Putra.