Akta gangguan seksual: Saya kecewa ia masih di peringkat AGC - Kasthuri Patto
Azyyati Ahmad
Februari 15, 2021 14:07 MYT
Februari 15, 2021 14:07 MYT
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) melibatkan isu gangguan seksual yang dijangka siap Mac ini dan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang, disifatkan terlalu lewat.
Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata, penangguhannya sudah memakan masa hampir setahun kerana ia sepatutnya dibentangkan pada Mac tahun lepas.
Menurutnya, RUU berkenaan sudah mengalami beberapa siri penangguhan termasuk disebabkan oleh krisis politik yang berlaku dalam negara.
“Ia amat-amat lewat. Mengikut rancangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di zaman Pakatan Harapan, ia sepatutnya dibentangkan sepenuhnya pada Mac 2020, tetapi tertangguh kerana Langkah Sheraton, maka kami mendesak untuk dibentangkan pada Julai.
“Oleh kerana draf RUU itu di pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC) ketika itu, ia dijadualkan semula untuk dibentangkan pada akhir tahun lepas, tetapi biasalah, hujung tahun adalah perbahasan belanjawan,” katanya ketika diwawancara Astro AWANI hari ini.
Menzahirkan kekecewaan, Kasthuri berkata, beliau juga bimbang mengenai pindaan isi kandungan draf RUU itu memandangkan banyak usaha dan perbincangan telah dilakukan pihaknya sebelum ini.
“Saya berasa kecewa kerana ia masih lagi di peringkat AGC.
"Dan saya khuatir dengan kandungan RUU tersebut, sama ada apa yang dibincangkan sebelum ini dengan semua pemegang taruh, dipersetujui, atau apakah perbezaan draf asal dengan pindaan AGC yang telah dibuat,” jelas Kasthuri.
Katanya, antara pemegang taruh terbabit ialah Bar Council, Women's Aid Organisation (WAO), WCC, Sister in Islam, ABIM dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain.
Beliau mendakwa, penangguhan tersebut akan menyebabkan mangsa gangguan seksual, sama ada lelaki atau perempuan, tidak dapat keadilan yang sepatutnya dalam sistem perundangan negara.
“Kita dengar banyak kes ditutup.
"Contohnya, kalau pensyarah berkelakuan tidak senonoh dengan pelajar, dengan siasatan dalaman universiti tersebut, ia akan diselesaikan secara dalaman.
"Atau gangguan seksual yang melibatkan syarikat besar, jarang kita dengar akta lain digunakan ke atas syarikat berkenaan,” katanya.
Tegas Kasthuri, negara memerlukan satu akta yang baik dan bagus bukannya akta yang tidak kuat dan memerlukan pindaan berkali-kali.
Beliau juga menyeru Menteri KPWKM Datuk Seri Rina Mohd Harun supaya mengambil inisiatif membuka ruang diskusi bersama pihak pembangkang sebelum ia dibentangkan di Parlimen.
Semalam, Rina berkata, RUU melibatkan isu gangguan seksual kini berada pada peringkat terakhir penelitian pihak AGC dan dijangka siap menjelang Mac.
#RUU Gangguan Seksual
#gangguan seksual
#Kasthuri Patto
#KPWKM
#Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat
#Rina Harun
#AGC
#draf
#Rang Undang-Undang
#Pakatan Harapan