Akta Gangguan Seksual perlu dibentang, diluluskan segera - NOW

Astro Awani
Februari 15, 2021 19:02 MYT
Menurut Haniza Mohamed Talha, dengan adanya Akta Gangguan Seksual, gangguan seksual tidak akan dilihat hanya di tempat kerja, tetapi di lokasi lain seperti ruang awam, tempat persendirian dan lain-lain. - Gambar hiasan Pixabay
KUALA LUMPUR: Nation of Women (NOW) menggesa kerajaan segera membentangkan Rang Undang-undang berkaitan Akta Gangguan Seksual agar dapat diguna pakai secepat mungkin dalam melindungi kaum wanita.
Presidennya, Haniza Mohamed Talha berkata, dengan adanya akta itu nanti, gangguan seksual tidak akan dilihat hanya di tempat kerja, tetapi di lokasi lain seperti ruang awam, tempat persendirian dan lain-lain.
"Gangguan seksual sering berlaku ke atas kaum wanita, namun terpaksa didiamkan kerana khuatir berdepan dengan tindakan yang lebih serius kerana pelakunya adalah majikan atau mereka yang berpangkat di tempat kerja.
"Kita menyambut baik pengumuman ini, berita yang dinanti-nantikan oleh kaum wanita terutama mangsa gangguan seksual yang terpaksa berdiam diri kerana tiada undang-undang yang melindungi mereka.
"Pelaksanaan akta ini juga perlu memastikan pengadu kes mendapat pembelaan dengan segera, tidak membebankan dari segi kos dan melindungi privasi pengadu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
BACA: Draf RUU gangguan seksual di peringkat akhir, dijangka siap Mac ini - Rina Harun
BACA: Akta gangguan seksual: Saya kecewa ia masih di peringkat AGC - Kasthuri Patto
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, draf Rang Undang-undang Gangguan Seksual kini berada di peringkat akhir bagi penelitian Jabatan Peguam Negara.
Rang Undang-undang berkaitan gangguan seksual itu dijangka siap Mac ini dan akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Dalam pada itu, Haniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya berkata, pelaksanaan akta itu juga mesti meliputi semua bentuk gangguan termasuk secara psikologi, penggunaan kata-kata, gambar atau video, gerak laku dan tingkah laku.
#Dewan Rakyat #video #undang-undang #wanita #mangsa #ganas
;