Akta drakonian: Pindaan, mansuh perlu dibuat berhati-hati - PM
Harits Asyraf Hasnan
Disember 3, 2019 10:40 MYT
Disember 3, 2019 10:40 MYT
Kerajaan menegaskan sebarang kajian, pindaan atau pemansuhan terhadap beberapa akta berunsur drakonian dan zalim perlu dibuat secara berhati-hati.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata prinsip asal semasa akta-akta tersebut digubal dan seterusnya diluluskan oleh Dewan Rakyat semestinya bertujuan untuk menjaga hak, kepentingan dan keselamatan rakyat secara keseluruhannya.
"Misalnya, Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta747) atau lebih dikenali sebagai SOSMA, digubal dan diluluskan bertujuan untuk menentang perbuatan subversif dan tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam.
Pihak Kementerian Dalam Negeri terutamanya pihak Polis Diraja Malaysia berpendirian SOSMA ini masih diperlukan dalam mengekalkan ketenteraman awam, menjamin keselamatan dan membendung aktiviti jenayah di negara ini," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Datuk Seri Dr. Santhara (PH-Segamat) yang ingin tahu apakah status pemansuhan akta berunsur zalim seperti mana tertulis dalam manifesto Pakatan Harapan.
Selain SOSMA, empat lagi akta yang telah dikenal pasti mempunyai unsur zalim adalah Akta Hasutan 1948 (Akta 15), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta 776).
Dr Mahathir bagaimanapun berkata terdapat ruang bagi akta-akta tersebut disalah guna untuk kepentingan tertentu sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
"Oleh yang demikian, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu mengambil kira keresahan yang dibangkitkan ini di samping tidak mengetepikan keperluan keselamatan negara.
"Hasrat Kerajaan pada masa ini ialah bagi memperkemaskan lagi akta-akta yang dikenal pasti berkenaan sama ada melalui pemansuhan secara menyeluruh atau pindaan peruntukan tertentu dalam akta-akta tersebut supaya terdapat keseimbangan di antara keperluan penjagaan hak, kepentingan dan keselamatan negara dengan hak asasi manusia serta prinsip keadilan yang diinginkan oleh rakyat," jelasnya.
Tegasnya, sebarang tindakan sama ada pindaan atau pemansuhan perlu dilaksanakan selepas kajian yang mendalam dan berhati-hati dilakukan supaya negara dapat ditadbir dengan baik dan kemakmurannya dapat dikecapi bersama.
#akta drakonian
#akta zalim
#Dewan Rakyat
#Kementerian Dalam Negeri
#Mahathir Mohamad
#Pakatan Harapan
#Polis Diraja Malaysia