"Akta Dana Politik, Akta Anti Lompat Parti mungkin tidak ke mana-mana" - Akhbar Satar

Firdaus Azil
November 28, 2021 12:03 MYT
Akhbar mendakwa, berdasarkan pemerhatian beliau, kedua-dua akta berkenaan hanya akan 'menjerat tengkuk' ahli politik yang berkuasa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dua akta berkaitan rasuah iaitu Akta Dana Politik dan Akta Anti Lompat Parti berkemungkinan tidak akan ke mana-mana, tegas Datuk Seri Akhbar Satar.
Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia itu mendakwa, berdasarkan pemerhatian beliau, kedua-dua akta berkenaan hanya akan 'menjerat tengkuk' ahli politik yang berkuasa.
Akhbar berkata, beliau mempunyai pandangan bahawa, sekiranya akta itu tidak diluluskan, ia sedikit sebanyak akan memberi kelebihan kepada mereka yang memerintah.
“Apabila sesuatu parti itu memegang tampuk pemerintahan dan mereka lihat kembali intipati atau apa yang ada dalam akta itu, sudah tentu akan beri kesan yang lebih kepada ‘menjerat tengkuk” sendiri. Selalunya ia tak akan diluluskan kerana ia beri kelebihan untuk mereka memerintah.
"Jadi kesedaran ahli politik ini, bagi saya agak sukar. Tapi janji bersifat intelektual mesti, banyak janji yang mahu dilaksanakan, termasuk dana politik, pun tak dilaksanakan walaupun zaman BN (Barisan Nasional), lepas itu PH (Pakatan Harapan), sekarang PN (Perikatan Nasional) masih macam itu. Jadi saya anggap dua data ini dana politik dan lompat parti tak akan ke mana-mana,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Beberapa pemerhati politik berpendapat, Akta Anti Lompat Parti, sekiranya diluluskan, akan mempunyai masalah kerana ia bercanggah dengan kebebasan berpersatuan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Atas sebab itu perlu ada pindaan terhadap Perlembagaan, bagi membolehkan akta itu diluluskan.
Sementara itu Akta Pendanaan Politik, juga sehingga kini masih belum mempunyai tanda-tanda akan dibentangkan di Parlimen, biarpun ia berkemungkinan antara solusi membanteras rasuah dalam kalangan ahli politik.
Dalam pada itu, Akhbar berkata, gejala rasuah dalam kalangan orang muda juga membimbangkan kerana mereka tidak mendapat contoh atau teladan baik dari pemimpin sebelumnya.
"Kalau tak tunjuk contoh baik, dan juga orang muda ni kita tak perbaik krisis integriti dalam kalangan orang muda banyak kajian pakar tempatan, sudah tentu akan beri kesan kepada generasi muda.
"... mereka bukan saja akan jadi ahli politik bahkan juga akan mengisi jawatan penting dalam kerajaan, ini satu perkara patut dilihat kerajaan, kalau tak negara akan kekal sebegini,” katanya lagi.
#rasuah busters #Akhbar Satar #Akta Anti Lompat Parti #Akta Dana Politik
;