Akta Antilompat Parti: UMNO Beluran mahu disegerakan, 'ramai pengundi trauma'

Radhi Muslim
April 10, 2022 08:50 MYT
Julie Sabran.
BELURAN: UMNO Beluran meminta supaya Rang Undang-Undang (RUU) Akta Antilompat Parti segera diluluskan khasnya sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.
Ketua UMNO Beluran Julie Sabran berkata, RUU itu sangat bermakna kepada rakyat dan pengundi kerana ia melibatkan soal kepercayaan dan integriti pemimpin.
Menurutnya, pihaknya menyokong padu penggubalan RUU berkenaan kerana ramai pengundi dalam kalangan ahli UMBO di Beluran pernah menghadapi situasi terbabit.
Jelasnya, pemimpin yang diberikan kepercayaan tiba-tiba keluar melompat ke parti lain.
“Contohnya macam di Beluran, dulu Barisan Nasional (BN), selepas itu lompat parti. Jadi, ia sesuatu yang tidak baik kepada kepada rakyat, kerana rakyat memberi kepercayaan kepada wakil rakyat itu mewakili parti tersebut.
“Tetapi akhirnya, lompat parti. Jadi, adalah lebih wajar dan wajib RUU ini diperkenalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program Berbelanja Baru Raya dan Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim, dari Rumah Anak Yatim Al-Ehsan Beluran, pada Sabtu.
Menurutnya, dalam tempoh ini dia mendengar dan menerima keluhan pengundi di daerah itu yang risau perbuatan lompat parti berleluasa.
Jelasnya, sehingga hari ini juga, ahli UMNO Beluran masih trauma dengan perbuatan berkenaan dan memohon RUU itu segera diluluskan.
“Makanya, akta ini harus diperkenalkan supaya selepas PRU15 ini tiada lagi yang lompat-lompat parti.
"Ini kerana kebanyakan Ketua Cawangan, ahli UMNO ataupun rakyat Beluran - saya mendengar keluhan mereka - trauma. Kerana, pemimpin ini kita wakilkan untuk mewakili kita, tapi akhirnya dia melompat.
"Jadi UMNO Bahagian Beluran dalam Persidangan UMNO Bahagian kita pun telah membawa usul dan usul ini telah diangkat ke peringkat Perhimpunan Agung UMNO,” katanya.
Katanya, dalam PAU baru-baru ini Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan menolak perbuatan lompat parti dan meminta RUU itu disegerakan.
Justeru, pihaknya berharap perkara berkenaan dapat direalisasikan dengan segera kerana sangat bermakna kepada pengundi, khasnya di Beluran dan amnya di Sabah.
#RUU Antilompat Parti #Julie Sabran
;