Akta Antigangguan Seksual: Lantikan tribunal dimuktamad hujung tahun ini - Nancy

Bernama
Julai 21, 2023 11:57 MYT
Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 8 Okt dan diwartakan 18 Okt tahun lepas.- Gambar fail/BERNAMA
KUCHING: Lantikan anggota tribunal berkaitan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) akan dimuktamadkan sebelum hujung tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata buat masa ini proses lantikan tribunal sedang berjalan.
Katanya tribunal itu nanti akan bertanggungjawab untuk menentukan proses pengendalian sebarang kes di bawah akta itu.
"Tribunal itu juga akan mendengar kes dan menentukan proses serta prosedur perjalanan sesuatu kes. Ia mempunyai kuasa di bawah undang-undang dan mereka ini yang akan menjatuhkan hukuman," katanya selepas menghadiri Program Jerayawara Kasih @Advokasi Antigangguan Seksual di sini hari ini.
Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 8 Okt dan diwartakan 18 Okt tahun lepas.
Terdahulu dalam ucapannya, Nancy berkata berdasarkan statistik polis jumlah kes gangguan seksual dilaporkan meningkat daripada 378 kes pada 2020 kepada 506 kes pada 2021.
Katanya jumlah kes yang dilaporkan itu melibatkan lelaki dan wanita.
"Bagi Sarawak sendiri, pada 2022 terdapat 16 kes gangguan seksual dengan 15 kes atau 94 peratus melibatkan gangguan seksual terhadap kaum wanita," katanya.
-- BERNAMA
#Akta Antigangguan Seksual #Nancy Shukri #lantikan tribunal #Akta 840
;