Akta Antigangguan Seksual: KPWKM rangka peraturan, bangunkan tribunal - Nancy Shukri

Bernama
Februari 15, 2023 22:46 MYT
KPWKM akan merangka peraturan dan membangunkan satu tribunal berkaitan Akta Antigangguan Seksual 2021 (Akta 840) pada tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan merangka peraturan dan membangunkan satu tribunal berkaitan Akta Antigangguan Seksual 2021 (Akta 840) pada tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata akta berkenaan yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 8 Okt dan diwartakan 18 Okt tahun lepas, merupakan antara tumpuan utama KPWKM bagi mengekang sebarang bentuk gangguan seksual dalam kalangan masyarakat.
"Kita juga mahukan supaya program hebahan dan advokasi dapat dimulakan dengan kadar segera. Saya yakin KPWKM dan pihak media boleh bekerjasama rapat, untuk merealisasikan hasrat supaya segenap lapisan masyarakat mendapat kesedaran akan adanya akta ini dan kebaikannya," katanya ketika berucap pada program KPWKM Bersama Media 2023, di sini malam ini.
Mengulas mengenai peranan media, Nancy berkata ia mampu berperanan sebagai pihak yang membantu bagi membantu kerajaan untuk menyebarluaskan inisiatif kerajaan dan bertindak sebagai ejen pengubah bagi menyampaikan maklumat yang sahih khususnya kepada kumpulan sasar KPWKM.
"Dengan perkembangan teknologi yang membolehkan maklumat disebarkan dengan sangat cepat, hanya di hujung jari dan peningkatan penggunaan media dalam talian seperti Facebook, Instagram, TikTok dan sebagainya, cabaran untuk mengurus persepsi masyarakat terharap kerajaan khususnya KPWKM, memerlukan kami semua bertindak lebih cepat dan responsif.
"Tetapi pada masa yang sama, aspek integriti dan kesahihan maklumat juga tidak boleh diabaikan terutamanya bagi isu-isu teknikal, yang melibatkan pelbagai akta dan peraturan," katanya.
Antara yang hadir dalam program berkenaan ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu, Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.
-- BERNAMA
#Akta Antigangguan Seksual #KPWKM #Nancy Shukri #tribunal
;