Akta Antigangguan Seksual dikuat kuasa secara berperingkat bermula hari ini

Bernama
Mac 28, 2023 14:40 MYT
KPWKM memaklumkan penguatkuasaan Akta 840 itu melibatkan takrifan gangguan seksual, elemen kesedaran dan pencegahan mengenai gangguan seksual kepada masyarakat. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menguatkuasakan Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] secara berperingkat bermula hari ini (28 Mac).
KPWKM berkata ia melibatkan Seksyen 1 iaitu tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa; Seksyen 2 tafsiran; Seksyen 24 pentadbir; Seksyen 25 fungsi dan kuasa pentadbir; dan Seksyen 26 kuasa untuk membuat peraturan-peraturan.
KPWKM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan penguatkuasaan Akta 840 itu melibatkan takrifan gangguan seksual, elemen kesedaran dan pencegahan mengenai gangguan seksual kepada masyarakat.
"Ia mengambil kira kepentingan untuk mendidik dan meningkatkan pemahaman serta kesedaran rakyat tentang betapa seriusnya isu yang melibatkan gangguan seksual sebelum akta ini dikuatkuasakan sepenuhnya," katanya.
KPWKM berkata Akta 840 mencerminkan komitmen kerajaan yang amat prihatin dan serius dalam menangani serta menghapuskan diskriminasi berasaskan gender terutamanya gangguan seksual.
"Apabila pemahaman dan kesedaran masyarakat tentang perlakuan gangguan seksual dan kesan-kesannya terhadap mangsa dapat dipertingkatkan, secara langsung membantu ke arah menyediakan persekitaran yang selamat.
"Ia bagi meningkatkan pengupayaan rakyat dalam ekonomi, sosial dan politik selain memastikan mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara untuk mencapai aspirasi Malaysia MADANI," menurut KPWKM.
Akta 840 diluluskan di Dewan Rakyat pada 20 Julai 2022 dan Dewan Negara pada 11 Ogos 2022.
Akta berkenaan telah diwartakan sebagai akta baharu pada 18 Okt 2022 selepas menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
-- BERNAMA
#Akta Antigangguan Seksual #KPWKM #Akta 840 #tarikh kuat kuasa
;