Akta Antiberita Tidak Benar jaga kepentingan awam, lindungi rakyat - Salleh
Bernama
Mac 27, 2018 19:49 MYT
Mac 27, 2018 19:49 MYT
Akta Antiberita Tidak Benar 2018 bertujuan menjaga kepentingan awam serta melindungi rakyat daripada menjadi mangsa penyebaran berita palsu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Beliau berkata kementeriannya menyokong penuh kewujudan undang-undang baharu itu memandangkan terdapat banyak berita palsu yang tular di media sosial.
"Di bawah kementerian saya pun ada Akta Komunikasi dan Multimedia. Tetapi dengan adanya undang-undang (Antiberita Tidak Benar) seperti ini, yang mana kita (kementerian) tidak boleh ambil tindakan di bawah akta kita, maka kita boleh gunakan undang-undang yang baharu ini.
"Kalau kita rasa kita tidak terlibat menyebarkan berita-berita palsu, maka tidak ada masalah... kita adakan undang-undang seperti itu untuk kepentingan anak-anak kita, kepentingan semua secara keseluruhannya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kenderaan rasmi Persatuan Seniman Malaysia, di sini, pada Selasa.
Justeru beliau berkata kewujudan akta baharu itu perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan tidak hanya terhad kepada aspek politik semata-mata.
Sementara itu, Salleh berkata akta berkenaan masih memberi kebebasan kepada media namun mereka juga terikat dengan peraturan yang ditetapkan.
Semalam, kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya bagi orang yang disabitkan kesalahan.
#Akta Antiberita Tidak Benar 2018
#berita palsu
#Menteri Komunikasi dan Multimedia
#Salleh Said Keruak
#undang-undang