Akta 852: JKN Perlis pergiat gerak kerja beri penerangan, pemahaman masyarakat belum mantap

Bernama
Oktober 29, 2024 23:16 MYT
Dr Ghazali berkata, pihaknya mendapati pemahaman masyarakat tentang akta itu masih belum mantap dan perlu dipertingkatkan lagi. - Gambar Bernama
KANGAR: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis mempergiat gerak kerja memberikan penerangan mengenai Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa 1 Okt lepas bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap pelaksanaan akta itu.
Pengarah Kesihatan Perlis Dr Ghazali Chik berkata berdasarkan pemeriksaan terhadap 1,057 premis berkaitan antaranya kedai vape, kedai runcit dan stesen minyak di negeri itu bagi tempoh 1 Okt lepas hingga semalam, pihaknya mendapati pemahaman masyarakat tentang akta itu masih belum mantap dan perlu dipertingkatkan lagi.
"Jabatan Kesihatan Negeri Perlis telah melaksanakan 37 operasi penguatkuasaan dan sebanyak 1,057 premis dilawati dan premis-premis tersebut kita melaksanakan penguatkuasaan pendidikan (termasuk berkaitan larangan di bawah Akta 852).
"Pada masa sekarang kita tidak melaksanakan penguatkuasaan (undang-undang) secara mengeluarkan notis kompaun sehingga (tempoh) enam bulan daripada tarikh dikuat kuasa, (iaitu) penghujung Mac 2025 akan tamat sesi masa yang kementerian (Kementerian Kesihatan) berikan kepada pemilik premis melaksanakan peraturan (mengikut Akta 852)," katanya.
Dr Ghazali berkata demikian kepada pemberita semasa Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 852 yang turut melibatkan penyertaan pihak Majlis Perbandaran Kangar, Kastam, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara serta Polis Diraja Malaysia, di restoran dan kedai vape di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga telah mengadakan sesi pembentangan mengenai akta itu secara terperinci kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Perlis supaya mereka turut membantu JKN Perlis dalam meningkatkan kesedaran masyarakat menerusi pelbagai platform.
-- BERNAMA
#Kementerian Kesihatan #vape #Akta 852 #pemilik premis
;