Akta 672: Pulau Pinang akan teliti, bincang sebelum buat keputusan
Bernama
Mac 14, 2024 19:05 MYT
Mac 14, 2024 19:05 MYT
GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan meneliti pelbagai perkara dan berbincang lebih lanjut dengan kerajaan Persekutuan berhubung menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah memberikan taklimat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) beberapa minggu lepas.
"Keputusan akan dibuat tertakluk kepada perbincangan seterusnya. Kita akan melihat perbandingan antara negeri yang terima pakai (Akta 672) dengan negeri yang uruskan sendiri, manfaat, kelebihan, kekurangan dan lain-lain," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming baru-baru ini yang memaklumkan kerajaan Pusat sedang melakukan rundingan secara aktif dengan kerajaan Selangor dan Pulau Pinang agar dua negeri itu menerima pakai akta tersebut.
Mengenai Rumah Muzik Pulau Pinang (PHoM) yang bakal ditutup Sabtu ini berikutan kekangan kewangan, Chow berkata kerajaan negeri telah memberikan geran sebanyak RM500,000 sejak beberapa tahun lepas kepada pusat itu.
"Kerajaan tidak boleh bertanggungjawab selain memberikan geran, hal itu bergantung kepada seberapa baik anda menguruskan geran itu. Saya percaya hasil yang dijana tidak mencukupi untuk mereka beroperasi dan hal itu antara pemilik dan penyewa bagi menyelesaikan isu tersebut," katanya.
PHoM ditubuhkan dengan dana permulaan RM3 juta daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang pada 2016.
Sementara itu, Chow berkata 43 pelajar telah dipilih untuk menerima anugerah 'Penang Scholar' dan lapan pelajar terpilih untuk anugerah 'Mutiara Scholar' di bawah program biasiswa Penang Future Foundation (PFF), tahun ini.
Chow yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PFF berkata kedua-dua anugerah biasiswa yang berbeza itu diwujudkan bagi menggalakkan pelajar cemerlang akademik mengekalkan prestasi mereka menerusi kategori Penang Scholar manakala Mutiara Scholar membantu mereka yang kurang berkemampuan.
Sehingga kini, kira-kira 700 pelajar telah menerima anugerah biasiswa PFF meliputi ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang.
-- BERNAMA