Akta 672: KPKT tunggu keputusan kerajaan negeri Selangor
Abd Razak Mohd Ali
Mac 10, 2024 17:20 MYT
Mac 10, 2024 17:20 MYT
IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menunggu keputusan kerajaan negeri Selangor berhubung pelaksanaan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di negeri itu.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, keputusan yang dicapai itu bagi membolehkan kementerian mengambil langkah seterusnya, termasuk melakukan rundingan secara terperinci.
Menurutnya, negeri Selangor secara prinsip bersetuju untuk menggunakan Akta 672 dan bakal menjadi negeri ke lapan yang menerima pakai akta berkenaan.
“Saya sendiri telah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan baginda berkenan untuk Selangor mengguna pakai Akta 672.
"Kita sedang tunggu keputusan MMK dari kerajaan negeri Selangor untuk mulakan rundingan secara terperinci," katanya pada Majlis Pelancaran Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) @ Rumah Pangsa Jalan Hospital di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KPKT (Perancangan dan Persekitaran Mampan), Datuk Saidatu Akhma Hassan; Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Hee Loy Sian; Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Mengulas lanjut Kor Ming berkata, selain Selangor, perbincangan aktif bagi Akta 672 turut dijalankan bersama kerajaan Pulau Pinang.
Menurutnya, setakat ini terdapat tujuh buah negeri telah menggunakan akta tersebut iaitu Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
"Sekiranya Selangor dan Pulau Pinang bersetuju, maka kita akan ada sembilan negeri yang menerima pakai Akta 672.
"Kita turut mengalu-alukan kerajaan negeri lain termasuk Perak untuk terus berunding supaya kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan dan negeri ini akan membawa manfaat yang besar kepada rakyat.
"Bagaimanapun, ia terpulang kepada kerajaan negeri untuk membuat pendirian. Kita menghormati keputusan mereka dan bagi pihak KPKT, pintu rundingan sentiasa terbuka," ujarnya.
Tambahnya, usaha memastikan lebih banyak negeri menerima pakai akta itu akan terus dipergiat termasuk melalui penubuhan Majlis Ekonomi Kitaran Nasional (NCEC) bagi sisa pepejal yang ditubuhkan September lalu.
"Kita akan mempergiatkan usaha untuk merancakkan ekonomi kitaran di negara ini selaras dengan hala tuju iaitu menuju ke Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030," katanya.