Akta 446, tingkat standard penginapan pekerja asing berkuat kuasa esok - Ismail Sabri
Rahimah Abdullah
November 25, 2020 18:07 MYT
November 25, 2020 18:07 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menguatkuasakan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bermula esok.
Antara lain akta pindaan berkenaan bertujuan menambah baik standard penginapan pekerja asing dalam pelbagai sektor di negara ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua majikan perlu mematuhi penguatkuasaan akta berkenaan.
"Bagi majikan yang gagal mematuhi Akta 446 ini mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 bagi setiap pekerja," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Pindaan kepada Akta 446 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019 serta diwartakan pada 18 September 2019.
Akta 446 (Pindaan) 2019 juga bertujuan untuk menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang telah disediakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Penambahbaikan Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 itu antara lain meliputi standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan yang perlu dititikberatkan oleh majikan.
Selain itu, mengenai pekerja asing, Ismail berkata, kerajaan sebelum ini telah memutuskan agar semua mereka perlu menjalani ujian saringan COVID-19.
Justeru, katanya pelan tindakan dan mekanisme bagi pelaksanaan ujian saringan tersebut antaranya:
•Kesemua pekerja asing akan disaring melalui kaedah RTK-antigen.
• PERKESO akan menanggung kos sebanyak RM60 bagi setiap ujian saringan.
• KSM dan PERKESO akan menyelaras ujian saringan kepada pekerja asing daripada pelbagai aspek
termasuk jumlah pekerja, fasiliti klinik dan makmal, kos ujian saringan.
• Untuk permulaan, ujian saringan ini akan difokuskan kepada pekerja asing di Kuala Lumpur, Labuan, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah yang melibatkan seramai 888,342 orang pekerja.
• KSM akan menyediakan jadual terperinci bagi proses pelaksanaan program ini yang dijangka akan
mengambil masa selama 4 hingga 6 minggu untuk diselesaikan.
#penempatan
#asing
#Akta 446
#COVID-19
#ismail sabri yaakob
#Kementerian Sumber Manusia
#Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990