Akta 446: Kilang pengeluar sarung tangan di Klang diserbu JTKSM

Fareez Azman
Disember 24, 2020 17:47 MYT
Sebuah kilang pengeluar sarung tangan getah di Klang diserbu Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam satu operasi bersepadu dengan beberapa agensi kerajaan pada Khamis. - Gambar: Astro AWANI
KLANG: Sebuah kilang pengeluar sarung tangan di Klang, Selangor diserbu Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam operasi bersepadu pada Khamis.
Operasi melibatkan pelbagai agensi kerajaan antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) itu bagi memantau pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446).
Menurut Pengarah Bahagian Standard Perburuhan JKTSM, Mohd Asri Abd Wahab, pemeriksaan mendapati kilang terbabit gagal mematuhi beberapa syarat ditetapkan di bawah Akta 446.
Beliau berkata, antara kegagalan pematuhan syarat yang dikesan ialah majikan didapati tidak menyediakan tilam, serta loker berkunci untuk setiap pekerjanya.
BACA: Menteri terkejut ratusan pekerja kilang berhimpit dalam kontena bau hancing, hapak
"Walau bagaimanapun banyak perkara di bawah Akta 446 perlu majikan patuhi, kita tengok satu penginapan bukan lagi double decker (katil dua tingkat), tapi triple decker (tiga tingkat)... ada satu lagi lapisan di atas itu, kita perlu naik tangga.
"Ini sebenarnya melibatkan faktor keselamatan, amat berbahaya kepada pekerja. Kedua, hampir semua tempat tidur mereka hanya berkonsepkan pangkin, tidak ada tilam. Akta 446 pindaan 2019, majikan perlu menyediakan sekurang-kurangnya tilam setebal empat inci, ada bantal dan selimut dan ada loker berkunci dengan saiz tertentu.
"Tadi tilam tak ada, selimut mungkin dibeli sendiri (pekerja) dan sebagainya, kemudian, paling penting sepatutnya syarikat perlu sediakan penyelia mengawasi tempat tersebut," katanya.
Dalam pada itu, pemeriksaan anggota penguatkuasa KKM pula mendapati terdapat pelanggaran beberapa syarat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pejabat Kesihatan Daerah Klang, Illi Syazwani Mohd Masudi berkata, antara kesalahan dikesan termasuk tiada penjarakan fizikal di antara pekerja di beberapa kediaman yang diperiksa.
"Di bawah Akta 342, di mana kalau ikutkan, beberapa perkara diambil kira dari segi asrama, kafeteria, kilang, pengangkutan pekerja dan beberapa perkara lagi. Dari segi asrama, ada perkara tidak dipatuhi, contohnya proses disinfeksi dan sanitasi yang mana perlu dijalankan sekurang kurangnya tiga kali sehari dan direkodkan.
"Kalau ikutkan, bila kita (anggota penguatkuasa) pergi ke asrama lelaki di belakang tadi, ada satu bilik yang tiada penjarakan fizikal, memang ada marking x (penanda x), tetapi itu tidak berlaku. Ia tidak boleh dibuktikan daripada satu rekod dari pihak kilang, itu satu kesalahan yang kita boleh kompaun," jelasnya.
Malah, katanya mengikut Akta 342, sesebuah kilang itu jelasnya lagi boleh ditutup pengoperasian selama tujuh hari jika melanggar lebih daripada tiga kesalahan di bawah akta berkenaan.
Bagaimanapun, ujarnya, tindakan lanjutan sama ada kompaun atau arahan penutupan hanya akan diketahui selepas pemeriksaan secara keseluruhan dijalankan pihaknya.
Operasi bersepadu itu bermula jam 11pagi dan berakhir dua jam kemudian.
#PDRM #KKM #Klang #Kementerian Kesihatan #Pekerja #Akta 446 #Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia #operasi bersepadu #anggota penguatkuasa #kesihatan #pekerja asing #kilang #Pengeluar sarung tangan getah
;