Akta 446: Industri pembinaan mohon tangguh setahun
Bernama
Februari 25, 2021 22:21 MYT
Februari 25, 2021 22:21 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain industri pembinaan meminta kerajaan menangguhkan selama setahun penguatkuasaan pindaan terbaharu Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Master Builders Association Malaysia dan lima persatuan kontraktor lain berkata mereka memerlukan masa untuk mematuhi pindaan tersebut disebabkan kekangan kewangan akibat peningkatan kos pembinaan selain pertambahan kos pematuhan prosedur operasi standard COVID-19.
"Industri memerlukan tempoh yang mencukupi untuk pulih. Kami memuji inisiatif untuk menyediakan tempat tinggal yang kondusif kepada pekerja, namun penguatkuasaan pindaan Akta 446 itu yang diwartakan pada 17 Feb 2021 sebagai sebahagian Ordinan Darurat itu dilakukan pada masa yang tidak kena, mengambil kira keadaan ekonomi semasa," kata mereka.
Menurut kenyataan itu, penguatkuasaan Akta 446 yang melibatkan pelbagai agensi tersebut juga boleh menimbulkan masalah lain kepada kontraktor kerana ada kemungkinan berlaku salah tafsiran terhadap peruntukan undang-undang berkenaan disebabkan kurang pemahaman dalam kalangan penguat kuasa.
Lima persatuan tersebut ialah Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Persatuan Kontraktor India Malaysia (PKIM), Guild of Bumiputra Contractors Wibawa (GBC Wibawa) dan United Malaysia Contractors Association (UMCA).
-- BERNAMA
#pemaju
#syarikat pembinaan
#Industri Pembinaan
#Akta 446
#Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja
#memohon penangguhan
#menangguhkan
#kerajaan